Seorang rakan saya dari Tanzania mempunyai penglihatan untuk menebus sebidang tanah yang terbiar di ibu kota Dodoma. Setelah mengetahui keperluan beberapa orang janda tempatan, Rut ingin mengubahkan beberapa ekar tanah yang berdebu ini menjadi tempat ternakan ayam dan tanaman. Penglihatannya untuk menyediakan bekalan kepada mereka yang ada keperluan lahir daripada kasihnya yang mendalam terhadap Tuhan, dan telah diilhami oleh seorang wanita yang mempunyai nama yang sama dengan dia dalam Alkitab, iaitu Rut.
Hukum Tuhan membenarkan orang miskin atau orang asing mengutip (tuaian) dari pinggir-pinggir ladang (Imamat 19:9-10). Rut (dalam Alkitab) adalah orang asing, oleh itu dia dibenarkan bekerja di ladang, mengumpulkan makanan untuk dia dan ibu mentuanya. Oleh sebab Rut bekerja sebagai pemungut tuaian di ladang Boas, iaitu seorang sanak saudara, maka Rut dan Naomi akhirnya dapat mencari sebuah rumah dan perlindungan. Rut menggunakan kebijaksanaan dan berusaha keras dalam pekerjaan hariannya—mengumpulkan makanan dari pinggir ladang—dan Tuhan memberkati dia.
Semangat rakan saya Rut, serta kisah Rut dalam Alkitab telah membangkitkan semangat saya untuk bersyukur kepada Tuhan atas pemeliharaan-Nya terhadap orang miskin dan tertindas. Mereka mendorong saya untuk membantu orang lain dalam komuniti saya, dan menjadikannya sebagai cara untuk mengucapkan kesyukuran saya kepada Tuhan kita yang sentiasa memberi. Bagaimanakah anda boleh menyembah Tuhan dengan menunjukkan belas kasihan-Nya kepada orang lain?