Ini bukan perkara yang luar biasa jika menerima bil air dan elektrik yang tinggi secara mengejut. Tetapi Kieran Healy dari Carolina Utara, Amerika Syarikat menerima bil air yang akan membuat jantung anda berhenti. Pemberitahuan tersebut mengatakan bahawa dia berhutang sebanyak 100 juta dolar! Dia amat yakin bahawa dia tidak menggunakan sebegitu banyak air pada bulan sebelumnya, Healy secara bergurau bertanya sama ada dia boleh membayar bil itu secara ansuran.

Hutang sebanyak 100 juta dolar memang menjadi beban yang sangat besar, tetapi hutang ini tidak dapat dibandingkan dengan hutang yang sebenar dan yang tidak dapat diukur, iaitu beban yang kita pikul disebabkan dosa. Sebarang usaha untuk memikul beban dan akibat dosa-dosa kita sendiri, akhirnya hanya menyebabkan kita berasa letih dan diselubungi oleh perasaan bersalah dan malu. Kebenarannya, kita tidak berdaya memikul beban ini.

Kita juga tidak pernah ditakdirkan untuk memikul beban ini. Seperti Petrus mengingatkan orang percaya, hanya Yesus, Anak Tuhan yang tidak berdosa, boleh memikul beban dosa kita yang berat dan akibatnya yang dahsyat (1 Petrus 2:24). Melalui kematian-Nya pada kayu salib, Yesus telah menanggung semua kesalahan kita ke atas diri-Nya dan menawarkan kepada kita pengampunan-Nya. Kerana Dia memikul beban kita, kita tidak perlu menderita hukuman yang kita patut terima.

Kita tidak perlu hidup dalam ketakutan atau rasa bersalah, atau “hidup sia-sia warisan nenek moyang” kita itu (1 Petrus 1:18), sebaliknya kita dapat menikmati satu kehidupan yang penuh kasih dan kebebasan yang baru (1 Petrus 1:22-23).