Anak-anak cucu kami amat gembira kerana mereka dapat mendekati seekor helang botak yang diselamatkan. Mereka juga dibenarkan untuk menyentuhnya. Semasa sukarelawan di zoo menceritakan burung yang hebat ini yang hinggap di lengannya, saya terkejut untuk mengetahui bahawa burung jantan ini mempunyai sayap selebar dua meter, namun oleh sebab tulang-tulang sayap sangat ringan, burung ini hanya seberat kira-kira 3.6 kilogram.

Ini mengingatkan saya tentang helang maha mulia yang saya lihat terbang di atas sebuah tasik, bersedia untuk menyambar ke bawah dan merampas mangsanya dengan cakarnya. Saya juga memikirkan satu lagi burung besar yang pernah saya temukan—burung pucung biru berkaki panjang dan kurus yang berdiri tanpa bergerak di pinggir sebuah kolam. Burung ini bersedia untuk memasukkan paruhnya yang panjang ke dalam air. Dua jenis burung ini hanya sebahagian antara hampir 10,000 spesis burung-burung lain yang boleh mengarahkan pemikiran kita kepada Pencipta kita.

Dalam kitab Ayub, kawan-kawan Ayub berdebat atas sebab-sebab penderitaannya dan bertanya, “Dapatkah engkau memahami rahsia Allah?” (Ayub 11:5-9). Dalam jawapannya, Ayub berkata, “Tanyalah kepada haiwan-haiwan, nescaya mereka akan mengajar engkau; kepada burung-burung di udara, nescaya akan mereka memberitahu engkau” (Ayub 12:7). Haiwan-haiwan memberi kesaksian kepada kebenaran ini: Tuhan merancang, menjaga, dan berkuasa ke atas penciptaan-Nya: “Dalam tangan-Nyalah nyawa semua yang hidup dan nafas seluruh umat manusia” (Ayub 12:10).

Oleh sebab Tuhan menjaga burung-burung (Matius 6:26; 10:29), kita boleh diyakinkan bahawa Dia mengasihi dan menjaga kita walaupun kita tidak memahami keadaan kita. Lihatlah sekeliling dan menemukan Dia.