Saya mempunyai gambar musim luruh yang indah tentang seorang lelaki muda menunggang kuda di pergunungan Colorado, ketika dia menimbang jalan yang mana untuk diikut. Ini mengingatkan saya tentang puisi Robert Frost “The Road Not Taken” (Jalan yang Tidak Diambil). Frost merenungkan dua laluan yang terletak di hadapannya. Kedua-duanya agak menarik, tetapi dia meragui dia akan kembali ke tempat ini lagi, jadi dia mesti memilih satu jalan. Frost menulis, “Dua jalan menyimpang di hutan, dan saya—saya mengambil jalan yang kurang dilintasi, dan itu telah membawa banyak perbezaan.”
Dalam Khutbah Yesus di atas Gunung (Matius 5–7), Tuhan memberitahu para pendengarnya, “Masuklah melalui pintu yang sempit, kerana pintu gerbang dan jalan menuju kebinasaan itu lebar dan luas, maka ramai orang yang memilihnya. Sebaliknya pintu dan jalan ke hidup kekal itu sempit dan sukar. Hanya segelintir orang yang menjumpainya” (Matius 7:13-14).
Dalam perjalanan hidup kita, kita akan menghadapi banyak pilihan mengenai jalan mana yang kita hendak mengembara. Banyak arah jalan kelihatan mempunyai masa depan yang cerah dan menarik, tetapi hanya ada satu merupakan jalan yang mengarah ke kehidupan sejati. Yesus memanggil kita mengembara jalan yang mengikut dan mentaati firman Tuhan—untuk mengikut Dia dan bukan orang ramai.
Semasa kita merenungkan jalan di hadapan, semoga Tuhan memberi kita kebijaksanaan dan keberanian untuk mengikut jalan-Nya—jalan kehidupan. Ini akan membawa perbezaan bagi kita dan orang yang kita kasihi!