Ketika berenang bersama rakan-rakan di Teluk Mexico, Caitlyn terserempak seekor jerung yang menyambar kaki dan tubuhnya. Untuk menentang serangan itu, Caitlyn menumbuk hidung jerung itu. Ia pun melepaskan Caityln dan menghilang dalam kekalahan. Walaupun serangan itu menyebabkan Caitlyn mengalami banyak kelukaan serta memerlukan lebih daripada 100 jahitan, dia masih terselamat.

Kisah ini mengingatkan saya mengenai fakta bahawa Yesus menghancurkan kematian, mengakhirkan kuasa kematian yang menggertak dan mengalahkan pengikut-pengikut-Nya. Menurut Peter, “Tidak mungkin maut dapat menahan [Yesus]” (Kisah Para Rasul 2:24).

Petrus menyampaikan kata-kata ini kepada orang ramai di Yerusalem. Mungkin ramai antara mereka adalah golongan yang mengutuk Yesus serta berteriak, “Salibkan Dia!” (Matius 27:22). Akibatnya, askar-askar Roma memakukan Dia pada satu kayu salib dan Dia digantung sehingga mereka mengesahkan bahawa Dia telah mati. Jenazah Yesus dibaringkan di sebuah makam selama tiga hari sehingga Tuhan membangkitkan Dia. Selepas kebangkitan-Nya, Petrus dan yang lain bercakap dan makan bersama-sama dengan Dia, dan setelah empat puluh hari mereka menyaksikan Dia naik ke syurga (Kisah Para Rasul 1:9).

Kehidupan Yesus di bumi berakhir di tengah-tengah penderitaan fizikal dan mental, tetapi kuasa Tuhan mengalahkan kubur itu. Oleh itu, kematian—atau apa jua pergelutan lain—tidak mempunyai keupayaan untuk menggenggam kita dalam cengkamannya selama-lamanya. Suatu hari semua orang percaya akan mengalami hidup kekal dan kesempurnaan dalam hadirat Tuhan. Dengan memfokuskan masa depan, ini dapat membantu kita menemukan kebebasan pada hari ini.