Acara larian bagi Memorial Steven Thompson ialah satu perlumbaan rentas desa yang berbeza daripada yang lain. Setiap pasukan yang terdiri daripada tujuh anggota akan berlari sebagai satu unit, memegang seutas tali dan berbentuk seperti “lipan”, untuk tiga kilometer yang pertama dalam larian yang sejauh lima kilometer. Ketika mereka tiba di tempat penanda tiga kilometer, pasukan akan melepaskan tali dan menamatkan perlumbaan itu secara individu. Oleh itu, keputusan akhir setiap orang merupakan gabungan kepantasan pasukan dan kepantasan individu.
Pada tahun ini, pasukan anak perempuan saya telah memilih satu strategi yang belum pernah saya lihat sebelum ini: Mereka meletakkan pelari terpantas di bahagian hadapan, manakala pelari yang paling perlahan di belakangnya. Dia menjelaskan bahawa matlamat mereka adalah agar pelari terpantas akan berada cukup dekat dengan pelari yang paling perlahan untuk memberikan kata-kata galakan.
Rancangan mereka memberi gambaran tentang satu petikan dalam kitab Ibrani. Penulis menggesa kita “berpegang teguh pada pengakuan harapan kita tanpa berganjak” (Ibrani 10:23) ketika kita “[memperhatikan] satu sama lain untuk menimbulkan kasih dan perbuatan yang baik” (ayat 24). Memang ada banyak cara untuk mencapai matlamat ini, tetapi penulis menitikberatkan satu hal: “Jangan berhenti daripada berhimpun, seperti yang dilakukan oleh setengah-setengah orang. Nasihatilah sesama sendiri” (ayat 25). Bersekutu bersama dengan orang percaya yang lain merupakan satu aspek penting dalam kehidupan iman kita.
Perlumbaan hidup dapat dirasakan melebihi apa yang kita mampu kendalikan pada masa-masa tertentu, dan kita mungkin digoda untuk melepaskan tali tanpa harapan. Apabila kita berlari bersama-sama, marilah kita saling memberikan galakan antara satu sama lain untuk terus berlari kuat!