Antara beribu-ribu kata sentimen yang dicetakkan di atas kad ucapan, mungkin salah satu ucapan yang paling menyentuh hati adalah ungkapan ini: “Terima kasih kerana menjadi diri anda seadanya.” Jika anda menerima kad seperti ini, anda tahu bahawa seseorang mempedulikan anda bukan kerana anda melakukan sesuatu yang menakjubkan untuk orang itu, melainkan anda dihargai kerana siapa diri anda.

Saya tertanya-tanya adakah jenis sentimen ini mungkin boleh menjadi salah satu cara terbaik untuk mengucapkan “terima kasih” kepada Tuhan? Sudah tentunya, ada kalanya apabila Tuhan campur tangan dalam kehidupan kita dengan cara yang nyata, dan kita memberikan ucapan seperti, “Tuhan, terima kasih kerana membenarkan saya mendapatkan pekerjaan itu.” Namun selalunya kita boleh sahaja berkata, “Tuhan, terima kasih, kerana Engkau ialah Tuhan.”

Itulah yang dimaksudkan di sebalik ayat-ayat yang terdapat dalam 1 Tawarikh 16:34: “Mengucap syukurlah kepada TUHAN kerana Dia baik; kasih-Nya kekal selama-lamanya.” Tuhan, terima kasih kerana Engkau baik dan penuh kasih. Mazmur 7:17: “Aku akan bersyukur kepada TUHAN kerana apa yang dilakukan-Nya adalah benar.” Tuhan, terima kasih kerana Engkau Tuhan Yang Maha Suci. Dan “Marilah kita pergi ke hadirat-Nya sambil mengucap syukur … kerana TUHAN ialah Allah Yang Maha Besar” (Mazmur 95:2-3). Tuhan, terima kasih kerana Engkau Tuhan Yang Maha Kuasa di seluruh alam semesta.

Siapanya Tuhan. Itulah alasan yang cukup bagi kita untuk menghentikan apa yang kita sedang lakukan, serta memuji dan bersyukur kepada-Nya. Tuhan, terima kasih kerana siapanya Engkau!