Krismas yang paling sepi yang pernah saya alami adalah di kampung datuk saya yang berdekatan dengan Sakogu, utara Ghana. Saya hanya berumur 15 tahun, dan ibu bapa dan adik-beradik saya berada sejauh seribu kilometer daripada saya. Pada tahun-tahun sebelumnya, apabila saya bersama-sama mereka dan rakan-rakan sekampung saya, Krismas sentiasa disambut secara besar-besaran dan tidak dapat dilupakan. Tetapi Krismas kali ini adalah sunyi dan sepi. Ketika saya berbaring di atas tikar lantai saya pada awal pagi Krismas, saya teringatkan sebuah lagu tempatan: Tahun telah berakhir; Krismas telah sampai; Anak Tuhan telah dilahirkan; keamanan dan kegembiraan kepada semua orang. Dengan sedih, saya menyanyikannya berulang-ulang kali.

Nenek saya datang dan bertanya, “Apakah lagu itu?” Datuk dan nenek saya tidak tahu tentang Krismas—atau mengenai Kristus. Jadi saya berkongsi apa yang saya tahu tentang Krismas dengan mereka. Detik-detik itu mencerahkan kesepian saya.

Daud yang masih seorang gembala muda juga mengalami kesepian ketika bersendirian di ladang dengan hanya domba dan kadangkala menghadapi binatang pemangsa. Masa seperti ini tidak berlaku sekali sahaja. Lewat dalam hidupnya, dia menulis, “aku sepi dan sengsara” (Mazmur 25:16). Tetapi Daud tidak membenarkan kesepian menyebabkan dia berputus asa. Sebaliknya, dia bernyanyi : “aku setia menanti-Mu” (ayat 21).

Dari masa ke masa kita menghadapi kesepian. Di mana sahaja anda menyambut Krismas tahun ini, sama ada anda keseorangan atau bersama dengan sahabat, anda boleh menikmati musim ini dengan Kristus.