Kawan saya telah menjadi anak angkat bagi satu pasangan mubaligh dari Amerika Syarikat dan dibesarkan di Ghana. Selepas keluarganya berpindah kembali ke Amerika Syarikat, dia mula masuk ke universiti tetapi terpaksa tercicir. Kemudian, dia menyertai perkhidmatan tentera, yang membantu dia membayar yuran kuliah dan membolehkan dia mengembara ke seluruh dunia. Melalui semua itu, Tuhan bekerja dan mempersiapkan dia untuk satu peranan khas. Hari ini, dia menulis dan menyunting kesusasteraan Kristian yang melayani para pembaca antarabangsa.

Isterinya juga mempunyai satu cerita yang menarik. Dia gagal dalam peperiksaan kimianya pada tahun pertama di universiti kerana terpaksa mengambil ubat yang kuat untuk epilepsi. Selepas membuat pertimbangan yang teliti, dia beralih daripada pembelajaran sains kepada pembelajaran Bahasa Isyarat Amerika, yang mempunyai beban kerja yang lebih mudah diurus. Ketika isteri kawan saya megimbas kembali pengalaman itu, dia berkata, “Tuhan telah mengarahkan semula hidup saya untuk satu tujuan yang lebih besar.” Hari ini, dia menjadikan firman-Nya yang mengubah kehidupan boleh didapat dengan mudah oleh mereka yang cacat pendengaran.

Adakah anda kadang-kadang tertanya-tanya ke mana Tuhan sedang memimpin anda? Mazmur 139:16 menyatakan bahawa tangan Tuhan yang berkuasa dalam kehidupan kita: “Mata-Mu telah melihat zatku yang masih belum dibentuk. Dan dalam kitab-Mu segalanya tersurat hari-hari yang ditentukan untukku.” Kita tidak tahu bagaimana Tuhan akan menggunakan keadaan hidup kita, tetapi kita boleh yakin bahawa Tuhan mengetahui segala sesuatu mengenai kita dan sedang mengarahkan jejak kita. Walaupun tangan-Nya yang berkuasa mungkin kelihatan tersembunyi, Dia tetap hadir.