Ketika duduk di halaman Gereja Visitation di Ein Karem, Israel, saya sungguh kagum dengan pameran enam puluh tujuh mozek yang indah dan mengandungi kata-kata Lukas 1:46-55 dalam pelbagai bahasa. Ia dikenali secara tradisi sebagai Magnifikat dalam bahasa Latin “Nyanyian Pujian Maria,” ayat-ayat ini adalah reaksi Maria yang gembira terhadap pengumuman bahawa dia akan menjadi ibu kepada Mesias.
Setiap plak mengandungi kata-kata Mary, termasuk: “Jiwaku meninggikan Tuhan; rohku bergembira kerana Allah, Penyelamatku … kerana Yang Maha Kuasa telah melakukan perkara yang besar untuk aku” (ayat 46-49). Kidung Alkitabiah yang diukir pada jubin-jubin tersebut adalah sebuah lagu pujian ketika Maria menceritakan kesetiaan Tuhan kepadanya dan bangsa Israel.
Sebagai seorang penerima rahmat Tuhan yang penuh kesyukuran, Maria bergembira dalam penyelamatannya (ayat 47). Dia mengakui bahawa belas kasihan Tuhan telah ditujukan kepada orang Israel untuk turun-temurun (ayat 50). Ketika dia mengimbas kembali penjagaan Tuhan kepada orang Israel, Maria memuji Tuhan kerana perbuatan Tuhan yang sungguh berkuasa bagi pihak umat-Nya (ayat 51). Dia juga bersyukur kepada Tuhan, mengakui bahawa pembekalan hariannya berasal daripada tangan-Nya (ayat 53).
Maria menunjukkan kepada kita bahawa menceritakan perkara-perkara besar yang telah dilakukan Tuhan untuk kita adalah satu cara untuk memberikan pujian dan bersukacita dalam-Nya. Pada musim Krismas ini, renungkan kebaikan Tuhan apabila anda mengenang kembali tahun ini. Dengan demikian, anda boleh mencipta satu mozek kecantikan yang besar dengan kata-kata pujian anda.