Saya tidak akan melupakan ingatan tentang perjumpaan dengan rakan-rakan karib apabila anak-anak lelaki kami masih kecil. Orang dewasa akan berbual-bual sehingga larut malam; anak-anak kami yang letih pula akan tidur lelap di atas sofa atau kerusi selepas bermain.

Apabila tiba masanya untuk pulang, saya akan memeluk anak-anak lelaki kami dalam pangkuan saya, mendukung mereka masuk ke dalam kereta, membaringkan mereka di tempat duduk belakang, dan membawa mereka pulang. Apabila kami tiba di rumah, saya akan mendukung mereka sekali lagi, menyelimutkan mereka di katil, mencium mereka, dan memadamkan lampu. Pada pagi berikutnya mereka akan bangun—di rumah.

Ini telah menjadi satu metafora bagi saya pada waktu malam ketika kita “meninggal dalam Yesus” (1 Tesalonika 4:14, ATB). Kita tidur … dan bangun di rumah abadi kita, rumah yang akan menyembuhkan keletihan kita pada penghujung hari.

Saya terserempak dengan satu teks Perjanjian Lama pada suatu hari yang mengejutkan saya—satu komen penutup dalam Ulangan: “Musa … meninggal di sana, di Tanah Moab, selaras dengan firman TUHAN” (34:5). Dalam bahasa Ibrani, ia bermaksud secara harfiah, “Musa meninggal dunia … dengan mulut Tuhan, “ satu rangkai kata yang diterjemahkan oleh rabi kuno sebagai, “Dengan ciuman Tuhan”.

Adakah hal Tuhan tunduk membongkok pada malam terakhir kita di bumi, menyelimuti kita dan mencium kita ini susah dibayangkan? Kemudian, seperti dikatakan oleh John Donne dengan begitu petah, “Tidur sejenak, kita bangun dalam keabadian.”