Kegelapan menyelubungi seluruh kampung kami apabila bulan lenyap. Petir mengelar langit, diikuti hujan ribut dan dentuman guruh. Saya terbangun dan menjadi takut. Sewaktu kecil, saya mula membayangkan gergasi yang menakutkan sedang menerkam saya! Bagaimanapun, apabila menjelang fajar, bunyi itu menghilang, matahari terbit, dan ketenangan muncul kembali dengan kicauan burung-burung yang menyenangkan di bawah sinaran matahari. Perbezaan antara kegelapan malam yang menakutkan dan sukacita pada siang hari memang amat ketara.

Penulis kitab Ibrani mengimbas kembali peristiwa ketika orang Israel mengalami hari yang gelap dan kilat sabung-menyabung di Gunung Sinai, mereka menjadi takut dan menyembunyikan diri (Keluaran 20:18–19). Bagi mereka, walaupun hukum Taurat diberikan dengan penuh kasih, mereka merasakan bahawa hadirat Tuhan itu gelap dan menakutkan. Hal ini kerana sebagai orang berdosa, orang Israel tidak dapat hidup setaraf dengan piawaian Tuhan. Dosa mereka menyebabkan mereka berjalan dalam kegelapan dan ketakutan (Ibrani 12:18–21).

Tetapi Tuhan adalah cahaya; pada-Nya tidak ada kegelapan sama sekali (1 Yohanes 1:5). Dalam Ibrani 12, Gunung Sinai mewakili kekudusan Tuhan dan hidup lama kita yang tidak taat kepada Tuhan, sementara keindahan Gunung Sion mewakili rahmat Tuhan dan hidup baru bagi orang yang percaya kepada Yesus, “Pengantara yang mengadakan perjanjian baru” (ayat 22–24).

Sesiapa yang mengikut Yesus, “tidak akan berjalan dalam kegelapan, tetapi beroleh cahaya yang memberikan hidup” (Yohanes 8:12). Melalui Dia, kita boleh melepaskan kegelapan hidup lama kita dan menikmati sukacita ketika berjalan dalam cahaya dan keindahan Pemerintahan-Nya.