Bapa saya merindukan banyak keinginan dalam kehidupannya. Dia menginginkan kesembuhan, meskipun penyakit Parkinson perlahan-lahan melumpuhkan minda dan tubuhnya. Dia menginginkan kedamaian, tetapi diseksa oleh kemurungan yang dalam. Dia menginginkan dirinya dikasihi dan dihargai, tetapi sering kali dia berasa keseorangan.

Namun kesunyiannya berkurang apabila dia membaca kata-kata dalam Mazmur 42, mazmur kegemarannya. Seperti yang dirasainya, pemazmur juga mengalami keinginan yang mendalam, kerinduan terhadap kesembuhan yang tidak dapat dihentikan (ayat 2-3). Sebagaimana yang dialaminya, pemazmur juga mengalami kesedihan yang seolah-olah tidak akan hilang (ayat 4), seakan-akan saat sukacita itu tidak mungkin akan muncul (ayat 7). Seperti bapa saya, ketika gelombang kekacauan dan kesedihan melanda dia (ayat 8), pemazmur berasa ditinggalkan oleh Tuhan dan bertanya, “Mengapakah?” (ayat 10).

Ketika kata-kata pemazmur itu menyentuh hatinya, memberikan keyakinan bahawa dia bukannya keseorangan, bapa saya merasakan bahawa kedamaian mula meresapi kesedihannya. Dia mendengar suara yang lembut di sekelilingnya, suara yang meyakinkannya walaupun dia tidak mendapat jawapan dan gelombang kesukaran itu masih menghentamnya, dia masih sangat dikasihi (ayat 8).

Bagaimanapun, dengan mendengar nyanyian yang penuh kasih dan menenangkan pada waktu malam, itu sudah mencukupi. Cukup untuk bapa saya berpaut secara senyap pada sinaran harapan, kasih, dan sukacita. Dan cukup baginya untuk menanti dengan sabar bahawa segala kerinduannya akan dipuaskan akhirnya (ayat 6, 12).