Dalam satu perbualan baru-baru ini, seorang rakan telah berkongsi kepada saya bahawa dia sudah meninggalkan imannya, saya mendengar satu sungutan yang biasa didengar. Bagaimanakah saya boleh mempercayai Tuhan yang tidak melakukan apa-apa? Soalan yang memilukan ini sering muncul di kalangan kita pada satu tahap kehidupan yang tertentu, sewaktu kita membaca berita-berita tentang keganasan dalam akhbar, dan sewaktu kita mengalami kekecewaan kita sendiri. Penderitaan yang dialami oleh rakan saya mengungkapkan keperluannya yang mendesak supaya Tuhan bertindak bagi pihaknya, suatu keinginan yang kita mungkin pernah rasakan.

Orang Israel amat memahami keadaan ini. Empayar Babilonia menakluki Israel, memerintah mereka dengan tangan besi dan menjadikan Yerusalem sebagai timbunan bara api. Nabi Yesaya memberikan kata-kata ini kepada rakyat yang diselubungi keraguan yang kecewa: Di manakah TUHAN yang sepatutnya menyelamatkan kita? (Yesaya 63:11-15). Dan tepat pada masa itu juga Yesaya mempersembahkan doa yang berani: Tuhan, “koyakkanlah langit dan turunlah” (64:1). Kesengsaraan dan kesedihan yang dialami oleh Yesaya tidak menyebabkannya menjauhi Tuhan, tetapi berusaha untuk mendekatkan diri kepada-Nya.

Keraguan dan masalah kita menawarkan anugerah yang berlainan: hal itu mendedahkan bahawa kita adalah sesat, dan sangat memerlukan Tuhan supaya Dia datang kepada kita. Sekarang kita melihat hal yang luar biasa; kisah yang seolah-olah tidak akan berlaku. Dalam Yesus, Tuhan telah mengoyakkan langit lalu datang kepada kita. Kristus menyerahkan tubuh-Nya sendiri yang telah terkoyak dan hancur supaya Dia boleh melimpahi kita dengan kasih-Nya. Dalam Yesus, Tuhan amat dekat.