“Apakah itu diatom?” tanya saya kepada seorang rakan. Saya bersandar pada bahunya untuk melihat gambar di dalam telefonnya melalui mikroskop. “Oh, ia seperti alga, tetapi sukar untuk dilihat. Kadangkala kita memerlukan setitis minyak ke atas lensa, atau tunggu sehingga organisma tumbuhan itu mati baru boleh dilihat,” jelasnya. Saya duduk tergamam ketika dia menatal gambar-gambar tersebut. Saya tidak henti-henti berfikir tentang butiran kompleks yang telah diletakkan Tuhan dalam kehidupan yang hanya boleh dilihat menerusi mikroskop!
Ciptaan dan pekerjaan Tuhan tidak pernah berakhir. Dalam kitab Ayub, salah seorang sahabat Ayub, iaitu Elihu mengatakan hal ini kepadanya ketika dia bergelut dengan kehilangan harta miliknya. Elihu mencabar sahabatnya itu, “Diamlah sekejap, hai Ayub, dan dengarlah, perhatikanlah hal-hal besar yang dilakukan Allah. Tahukah engkau bagaimana Allah memberikan perintah dan membuat kilat memancar dari mega? Tahukah engkau bagaimana awan melayang, hasil karya Allah yang maha mengetahui?” (Ayub 37:14-16). Kita, sebagai manusia, tidak dapat mengetahui betapa kompleksnya Tuhan dan ciptaan-Nya.
Malah bahagian ciptaan yang tidak dapat kita lihat pun memantulkan kemuliaan dan kuasa Tuhan. Kemuliaan-Nya mengelilingi kita. Tidak kira apa yang kita lalui, Tuhan sedang bekerja, walaupun ketika kita tidak dapat melihatnya dan tidak mampu memahaminya. Marilah kita memuji Tuhan pada hari ini, kerana “kita tidak dapat memahami perbuatan besar Allah, dan mukjizat-Nya tidak terkira” (Ayub 5:9).