Serangan cengkerik Mormon pada tahun 2003 telah memusnahkan lebih daripada $25 juta hasil tanaman. Cengkerik datang dalam jumlah yang begitu banyak sehingga dapat dilihat di merata-rata tempat. Serangga yang rupanya seperti belalang ini menyerang tanaman para perintis Utah pada tahun 1848, dan yang menghairankan ialah bahawa serangga ini boleh makan lebih daripada 17 kg bahan tumbuhan sepanjang hayatnya, meskipun ia cuma bersaiz 5 hingga 8 sentimeter panjangnya. Serangan ini turut membawa akibat dahsyat kepada punca pendapatan para petani dan secara keseluruhan, bencana ini menjejaskan ekonomi negeri atau negara.

Yoel, seorang nabi dalam Perjanjian Lama, menggambarkan serangan serangga yang serupa telah melanda seluruh umat Yehuda akibat ketidaktaatan mereka. Dia meramalkan pencerobohan belalang (metafora untuk tentera asing, menurut beberapa cendekiawan Alkitab) yang tidak pernah dilihat oleh generasi sebelumnya akan melanda (Yoel 1:2). Belalang akan meranapkan semua yang dirempuhnya, memacu orang ke dalam kebuluran dan kemiskinan. Bagaimanapun, jika mereka berpaling daripada cara hidup berdosa mereka dan meminta pengampunan Tuhan, Yoel mengatakan bahawa Tuhan akan “mengganti segala kerugian [mereka] pada tahun-tahun ketika belalang makan hasil tanaman [mereka]” (2:25).

Kita juga boleh belajar daripada pelajaran umat Yehuda: seperti serangga, kesalahan kita dapat merosakkan kehidupan yang berbuah dan berbau harum, yang diinginkan Tuhan untuk kita. Apabila kita berpaling kepada-Nya dan meninggalkan keinginan kita yang lalu, Dia berjanji untuk menghapuskan segala rasa malu kita, serta memulihkan dan membawa kita kepada kehidupan yang berkelimpahan dalam Dia.