Menurut Biro Banci Amerika Syarikat, orang Amerika berpindah-randah dari satu alamat ke alamat lain dengan purata sebelas hingga dua belas kali sepanjang hayat mereka. Pada tahun-tahun kebelakangan ini, seramai 28 juta orang telah membungkus barang-barang mereka dan berpindah ke rumah yang baharu.
Dalam tempoh 40 tahun apabila orang Israel berada di padang gurun, awan yang menandakan kehadiran Tuhan telah memimpin seluruh keluarga bangsa ini berpindah dari sebuah tempat ke tempat lain dengan harapan agar mereka akan menemukan satu tanah air yang baharu. Kisah ini selalu berulang-ulang, sehingga ia hampir seperti satu cerita komedi. Berulang kali keluarga yang besar itu mengemas dan mengeluarkan barang, bukan sahaja barang mereka sendiri malahan khemah dan kelengkapan Khemah Tuhan, tempat yang Tuhan bertemu dengan Musa dalam awan (lihat Keluaran 25:22).
Beberapa tahun kemudian, Yesus telah memberi keseluruhan makna tentang kisah perpindahan orang Israel. Daripada memimpin dalam bentuk tiang awan, Dia datang dalam rupa manusia. Ketika Dia berkata, “Ikutlah Aku” (Matius 4:19), Dia mula menunjukkan bahawa perubahan alamat yang paling penting terjadi dalam hati manusia. Dengan membawa kedua-dua pihak, iaitu rakan-rakan dan musuh-musuh-Nya ke kaki kayu salib, Yesus menunjukkan bahawa Tuhan yang dahulunya memimpin dalam tiang awan dan Khemah TUHAN telah membuat pengorbanan yang begitu besar untuk menyelamatkan kita.
Seperti pertukaran alamat, demikian juga perubahan-perubahan dalam hati boleh mengganggu kita. Akan tetapi pada suatu hari nanti, dari tingkap rumah Bapa syurgawi, kita akan melihat bahawa Yesus telah memimpin sepanjang perjalanan hidup kita.