Sebelum saya bertemu dengan Yesus, saya telah mengalami luka yang sangat dalam sehingga saya menghindari hubungan rapat dengan orang lain kerana takut akan disakiti sekali lagi. Ibu saya tetap menjadi sahabat terdekat saya, sehinggalah saya berkahwin dengan Alan. Selepas tujuh tahun dan berada di ambang perceraian, saya membawa anak kami Xavier yang masih bersekolah tadika untuk menghadiri kebaktian gereja. Saya duduk berhampiran dengan pintu keluar, takut untuk percaya namun terdesak untuk mendapatkan bantuan.
Syukurlah, orang percaya yang lain menghampiri kami, berdoa untuk keluarga kami, serta mengajar saya cara untuk memelihara hubungan dengan Tuhan melalui doa dan pembacaan Alkitab. Lama-kelamaan, kasih Kristus dan para pengikut-Nya telah mengubah saya.
Dua tahun selepas kebaktian yang pertama itu, Alan, Xavier dan saya meminta untuk dibaptis. Selepas beberapa ketika, semasa berbual-bual dengan ibu saya pada minggu itu, dia berkata, “Anda nampak berbeza. Beritahulah saya lebih banyak tentang Yesus.” Beberapa bulan kemudian, dia juga menerima Kristus sebagai Penyelamatnya.
Yesus mengubah kehidupan … seperti Saulus, salah seorang penganiaya yang paling ditakuti oleh gereja, sehinggalah dia bertemu dengan Kristus (Kisah Rasul-Rasul 9:1-5). Rakan-rakan yang lain membantu Saulus untuk belajar lebih dalam tentang Yesus (ayat 17-19). Perubahan drastik yang berlaku dalam kehidupan Saulus telah menambah kebolehpercayaan ke atas pengajarannya yang diperkuat oleh Roh Kudus (ayat 20-22).
Pertemuan pertama kita sendiri dengan Yesus mungkin tidak begitu dramatik seperti Saulus. Perubahan hidup kita mungkin tidak begitu cepat atau drastik. Namun, ketika orang lain melihat kasih Kristus mengubah kita dari masa ke masa, kita akan berpeluang untuk menceritakan kepada orang lain tentang apa yang dilakukan-Nya dalam kehidupan kita.