Apabila seorang asing berbadan tegap menghampiri saya dan isteri saya semasa kami berjalan di luar negara pada suatu hari, kami berasa ketakutan. Kami mengalami saat-saat yang buruk pada masa percutian kami; kami telah dihina, ditipu, dan diperas beberapa kali. Adakah kami akan berhadapan dengan kesukaran sekali lagi? Akan tetapi kami terkejut, rupa-rupanya lelaki itu cuma ingin menunjukkan kepada kami sebuah tempat yang ada pemandangan yang indah di bandarnya. Kemudian dia memberikan sekeping coklat kepada kami sambil tersenyum, lalu beredar. Tindakan yang sederhana itu telah menjadikan hari kami bermakna— dan mengubah seluruh perjalanan kami. Ini membuatkan kami bersyukur—kepada lelaki tersebut dan Tuhan kerana ia menceriakan hati kami.
Apakah yang mungkin menggerakkan lelaki itu mendekati dua orang yang tidak dikenalinya? Adakah mungkin dia telah berjalan di sekeliling sepanjang hari itu demi mencari orang untuk diberkati dengan sekeping coklat?
Sungguh menakjubkan apabila melihat tindakan yang terkecil pun dapat membawa kegembiraan besar—dan mungkin membawa seseorang itu kepada Tuhan. Alkitab menekankan betapa pentingnya untuk melakukan pekerjaan yang baik (Yakobus 2:17, 24). Sekiranya ia kelihatan mencabar, kita mempunyai jaminan bahawa Tuhan bukan sahaja membolehkan kita melakukan tugas ini, malah pekerjaan baik ini “sudah disediakan-Nya untuk kita lakukan” (Efesus 2:10).
Mungkin Tuhan telah mengatur supaya kita “bertemu” dengan seseorang yang memerlukan kata-kata dorongan pada hari ini, atau memberi kita peluang untuk menawarkan bantuan kepada seseorang. Apa yang perlu kita lakukan adalah memberi respons dengan sikap yang taat.