Siapakah saya? Itulah soalan yang ditanyakan oleh seekor boneka haiwan yang telah pudar warnanya kepada diri sendiri dalam buku kanak-kanak yang bertajuk “Nothing (Tiada Apa-apa)”oleh Mick Inkpen. Boneka haiwan itu ditinggalkan di suatu sudut loteng yang berdebu, dan mendengar haiwan-haiwan lain memanggilnya “Tiada Apa-apa”. Maka yang lain juga menganggap itulah namanya: Tiada Apa-apa.
Pertemuannya dengan boneka haiwan lain telah mencetuskan kenangan. Si Tiada Apa-Apa menyedari bahawa dia pernah memiliki ekor, misai dan jalur. Tetapi hanya setelah dia bertemu dengan seekor kucing belang yang membantu dia mencari jalan pulang, barulah dia teringat siapa dia yang sebenarnya: boneka kucing yang bernama Toby. Kemudian pemiliknya yang sangat menyayanginya membaikinya semula, dengan menjahitkan telinga, ekor, misai, dan jalur yang baharu.
Setiap kali saya membaca buku ini, saya terfikir tentang identiti diri saya. Siapakah saya? Yohanes menulis kepada orang percaya dengan berkata bahawa Tuhan telah memanggil kita anak-anak-Nya (1 Yohanes 3:1). Kita tidak sepenuhnya memahami identiti itu, tetapi apabila kita melihat Yesus, kita akan menjadi seperti Dia (ayat 2). Seperti Toby, suatu hari nanti kita akan dipulihkan kepada identiti yang ditentukan bagi kita, kerana kita telah dicemari oleh dosa. Pada masa sekarang, kita hanya dapat memahami sebahagian daripada identiti itu, dan kita dapat mengenal imej Tuhan melalui setiap kita. Akan tetapi pada suatu hari nanti, apabila kita melihat Yesus, kita akan dipulihkan sepenuhnya kepada identiti yang dimaksudkan Tuhan untuk kita. Kita akan menjadi baharu.