“Suatu hari nanti saya akan kirimkan semuanya di Facebook—bukan perkara yang baik sahaja!

Komen kawan saya, Sue—diberikan secara santai ketika makan tengah hari bersama suaminya membuatkan saya tergelak dan berfikir. Media sosial boleh menjadi alat yang baik, membantu kita terus berhubungan dan mendoakan kawan-kawan sepanjang tahun dan tinggal berjauhan. Tetapi jika tidak berhati-hati, ia juga akan memberikan pandangan hidup yang tidak realistik kepada kita. Ketika kita melihat banyak “sorotan umum” daripada “perkara-perkara yang baik” yang dipaparkan, kita akan diperdayakan untuk berfikir bahawa kehidupan orang lain baik-baik sahaja tanpa masalah, manakala kita pula tertanya-tanya sebabnya kita tidak memiliki kehidupan sebegini.

Jika kita membanding-bandingkan diri dengan orang lain, sudah tentulah ia tidak membahagiakan kita. Apabila murid-murid Yesus membanding-bandingkan antara satu sama lain (baca Lukas 9:46; 22:24), Yesus segera menghentikan mereka. Sebaik sahaja Dia bangkit daripada kematian, Yesus berkata kepada Petrus tentang bagaimana dia akan menanggung kesengsaraan disebabkan oleh imannya. Kemudian Petrus berpaling kepada Yohanes dan bertanya, “ ‘Tuhan, bagaimana dengan orang ini?’’ Yesus menjawab, ‘Jika Aku mahu dia hidup sehingga Aku kembali, apa kena-mengenanya dengan kamu? Tetapi kamu, ikutlah Aku!’ ” (Yohanes 21:21–22).

Yesus memberikan kepada Petrus penyelesaian yang terbaik bagi perbandingan yang tidak sihat. Pada saat minda kita tertumpu kepada Tuhan dan semua yang telah dilakukan-Nya untuk kita, tumpuan perhatian kepada diri sendiri akan hilang secara perlahan-lahan dan kita akan ingin mengikut Dia. Di tengah-tengah dunia yang penuh ketegangan dan tekanan persaingan, Tuhan memberikan hadirat dan kesejahteraan-Nya yang indah. Tiada yang dapat dibandingkan dengan-Nya.