Harta karun. Ini kedengaran seperti sesuatu yang kita dengar daripada buku cerita kanak-kanak sahaja. Tetapi Forrest Fenn, seorang jutawan yang aneh berkata bahawa dia telah menyembunyikan satu peti batu permata dan emas yang bernilai sehingga RM8 juta di sebuah kawasan Pergunungan Rocky di Amerika Syarikat. Ramai orang telah pergi mencarinya. Pada hakikatnya, empat orang telah kehilangan nyawa ketika cuba mencari kekayaan yang tersembunyi itu.
Kita diajak oleh penulis Amsal untuk berfikir: Adakah sebarang harta yang berbaloi dengan usaha pencarian sedemikian? Dalam Amsal 4, seorang bapa menulis kepada anaknya tentang cara untuk hidup dengan baik. Katanya, hikmat ialah sesuatu perkara yang paling mustahak yang layak dicarikan dengan apa jua harga pun (ayat 7). Katanya, hikmat itu akan membimbing kita sepanjang kehidupan, kita tidak akan tersandung ketika berjalan mahupun berlari, ia akan menjadi mahkota kemegahan kita (ayat 8-12). Beratus-ratus tahun kemudian, Yakobus, salah seorang murid Yesus juga menegaskan bahawa hikmat adalah penting. Dia menuliskan, “Tetapi orang yang mempunyai kebijaksanaan yang datang dari syurga, pertama sekali murni, suka akan kedamaian, lemah lembut, dan ramah tamah. Mereka berbelas kasihan dan mengamalkan segala macam perbuatan baik. Mereka tidak berat sebelah ataupun munafik” (Yakobus 3:17). Apabila kita mencari hikmat, kita mendapati bahawa semua jenis perkara baik akan cepat berkembang maju dalam kehidupan kita.
Pencarian hikmat sebenarnya adalah mencari Tuhan, yang merupakan sumber segala hikmat dan pengertian. Hikmat yang datang dari syurga adalah lebih bernilai berbanding dengan apa-apa harta karun yang dapat kita bayangkan.