Ketika Siu Fen mendapati dia menghidapi penyakit buah pinggang dan perlu menjalani rawatan dialisis seumur hidup, dia ingin berputus asa. Sebagai seorang pesara yang bujang, Siu Fen yang telah lama percaya kepada Yesus tidak melihat makna untuk menyambung hidupnya. Tetapi kawan-kawan mendorong dia agar menjadi tabah dan menjalani dialisis, serta percaya kepada pertolongan Tuhan.

Dua tahun kemudian, Siu Fen mendapati pengalamannya berguna ketika dia mengunjungi seorang kawan dari gereja yang mengalami penyakit yang melemahkan badan. Wanita tersebut berasa kesepian, kerana hanya segelintir orang yang benar-benar memahami apa yang dialaminya. Tetapi Siu Fen dapat memahami penderitaannya baik dari segi fizikal atau emosi, maka Siu Fen boleh berhubung dengan dia secara peribadi. Perjalanan hidupnya sendiri membolehkan dia menemani wanita itu, memberikannya penghiburan yang tidak dapat dilakukan oleh orang lain. “Kini saya dapat melihat Tuhan masih boleh memakai saya,” katanya.

Sukar untuk difahami mengapa kita menderita. Namun Tuhan dapat menggunakan penderitaan kita dengan cara yang tidak terduga. Selagi kita datang kepada-Nya untuk mendapat penghiburan dan kasih di tengah-tengah cubaan, ia juga memberikan kekuatan kepada kita untuk menghibur orang lain. Tidak hairanlah kenapa Paulus melihat tujuan penderitaannya: Kesusahan itu memberikan peluang kepadanya untuk menerima penghiburan Tuhan, yang boleh digunakannya untuk memberkati orang lain (2 Korintus 1:3–5). Kita tidak disuruh untuk menafikan penderitaan dan kesusahan kita, tetapi kita boleh yakin akan keupayaan Tuhan untuk menjadikannya demi sesuatu yang baik.