Seorang wanita tertumpu sepenuhnya pada rak teratas, tempat terletaknya balang-balang sos spageti. Saya telah berdiri di sebelahnya selama beberapa minit, serta melihat rak yang sama itu dan cuba membuat pilihan. Dengan jelas wanita tersebut tidak menyedari kehadiran saya, dia dirundung oleh kesukarannya untuk mencapai rak teratas. Saya pula tiada masalah untuk mencapai rak tinggi kerana ketinggian saya. Sebaliknya wanita itu pula tidak. Saya pun menawarkan bantuan. Dia terkejut dan berkata, “Aduh! Saya tidak menyedari bahawa anda berdiri di sebelah saya. Ya, tolong bantu saya.”

Pengikut-pengikut Yesus mengalami banyak situasi yang perlu ditangani—orang ramai yang lapar, tempat terpencil, kesuntukan masa—“Hari sudah hampir malam dan tempat ini terpencil. Suruhlah semua orang ini pergi, supaya dapat membeli makanan di pekan” (Matius 14:15). Apabila mereka dicabar oleh Yesus untuk menjaga orang itu sendiri, mereka berkata, “Kami hanya mempunyai …” (ayat 17). Apa yang disedari mereka hanyalah kekurangan mereka. Sedangkan Peribadi yang berdiri di sebelah mereka itu ialah Yesus, yang bukan sahaja dapat melipatgandakan bilangan roti, tetapi Dia sendiri ialah Roti yang Memberikan Hidup.

Kita boleh dibelenggu dengan banyak cabaran dan kita sendiri berusaha untuk menyelesaikannya dengan pandangan kita yang sering kali terhad, sehingga kita terlupa akan hadirat Kristus yang telah bangkit untuk menyertai kita. Dari tempat terpencil hingga ke lorong kedai dan di mana-mana, Yesus ialah Imanuel—Tuhan menyertai kita, penolong yang maha hadir semasa kesusahan.