Kiriman rakan saya di Facebook mengumumkan bahawa dia telah menyelesaikan satu projek. Orang lain mengucapkan tahniah kepadanya, tetapi kiriman itu menyakitkan hati saya. Projek saya yang sepatutnya terpilih. Saya tidak tahu sebabnya.

Kasihan Yusuf. Dia tidak dipilih oleh Tuhan, dan dia tahu sebabnya. Yusuf merupakan salah seorang daripada dua orang yang dicalonkan untuk menggantikan tempat Yudas. Rasul-rasul berdoa, “Ya Tuhan, Engkau mengetahui hati semua orang … Tunjukkanlah yang mana antara dua orang ini yang akan Engkau pilih” (Kisah Rasul-Rasul 1:24-25). Tuhan memilih Matias. Kemudian Dia mengumumkan keputusan-Nya kepada kumpulan rasul itu apabila “Matias terpilih menjadi rasul” dengan undian (ayat 26).

Ketika para rasul mengucapkan tahniah kepada Matias, saya memikirkan Yusuf. Bagaimanakah dia menangani rasa penolakan itu? Adakah dia berasa diketepikan, berasa kasihan bagi diri sendiri, dan menjauhkan diri daripada para rasul yang lain? Atau adakah dia percaya kepada Tuhan dan terus menghulurkan sokongan dengan ceria?

Saya tahu pilihan mana yang terbaik. Saya juga tahu pilihan mana yang akan saya ambil. Memalukan betul! Kalau anda tidak mahu saya, tidak apalah. Lihat sahajalah bagaimana keadaan anda tanpa saya. Mungkin fikiran itu rasanya lebih baik, tetapi hanya disebabkan oleh sikap yang mementingkan diri.

Yusuf tidak disebut lagi dalam Alkitab, jadi kita tidak tahu tindak balasnya. Yang lebih penting adalah bagaimana kita bertindak jika kita tidak dipilih. Semoga kita ingat bahawa kerajaan Yesus adalah lebih penting daripada kejayaan kita, dan semoga kita melayani dengan sukacita dalam segala peranan yang dipilih-Nya.