Pada tahun 1995, pelabur-pelabur pasaran saham Amerika Syarikat menerima pulangan yang paling tinggi—secara puratanya, mereka telah menerima sebanyak 37.6 peratus pulangan dalam dolar Amerika Syarikat. Kemudiannya pada tahun 2008, para pelabur kehilangan hampir sama banyak: -37.0 peratus. Tahun-tahun di antaranya membawa pulangan yang berbeza-beza, sehingga menyebabkan para pelabur teragak-agak—kadang-kadang dengan ketakutan kerana tertanya-tanya apa yang akan berlaku dalam pelaburan mereka.

Yesus meyakinkan para pengikut-Nya bahawa mereka akan mendapat pulangan yang tiada tolok bandingnya kerana melaburkan hidup mereka dalam-Nya. Mereka “sudah meninggalkan segala-galanya lalu mengikut [Yesus]”—meninggalkan rumah tangga, pekerjaan, status, dan keluarga untuk meletakkan hidup mereka sebagai deposit (ayat 28). Tetapi mereka mengkhuatiri “pelaburan” mereka itu mungkin tidak akan mendapat pulangan selepas melihat seorang orang kaya bergelut dengan kekayaan duniawi. Bagaimanapun, Yesus menjawab, sesiapa yang sudi berkorban demi Dia “akan menerima lebih banyak lagi pada zaman ini … dan pada zaman yang akan datang orang itu akan beroleh hidup sejati dan kekal.” (ayat 30). Itulah “pulangan” yang jauh lebih baik daripada mana-mana pasaran saham yang boleh diberikan.

Kita tidak perlu risau akan “kadar faedah” dalam pelaburan rohani kita—dengan Tuhan, ia adalah kepastian yang tidak dapat ditandingi. Dengan wang, sasaran kita adalah untuk memaksimumkan pendapatan kewangan daripada pelaburan kita. Dengan Tuhan, apa yang kita terima tidak diukur dari segi wang ringgit, melainkan sukacita yang datang daripada mengenal Dia sekarang dan selamanya—dan berkongsi sukacita itu dengan orang lain!