Beberapa tahun yang lalu, presiden sebuah universiti mencadangkan agar semua siswa menyertai “Malam Bisu” untuk satu malam. Walaupun para siswa bersetuju, mereka mengetepikan telefon bimbit mereka dengan berat hati dan masuk ke dalam gereja. Dalam satu jam berikutnya, mereka duduk diam dalam satu kebaktian yang disertakan muzik dan doa. Selepas itu, seorang peserta menjelaskan pengalamannya bahawa itu merupakan peluang yang indah untuk bertenang, dan menjauhkan diri daripada kebisingan.
Kadangkala, sukar bagi kita untuk menghindari “kebisingan lebihan.” Riuh-rendah luaran dan dalaman hidup kita boleh memekakkan kita. Tetapi jika kita sudi “memperlahankan bunyi,” kita mula memahami keperluan untuk berdiam seperti yang diingatkan oleh pemazmur supaya kita dapat mengenal Tuhan (Mazmur 46:10, AVB). Dalam 1 Raja-Raja 19, kita mendapati bahawa apabila nabi Elia mencari Tuhan, dia tidak menemukan Tuhan dalam angin ribut, gempa atau api (ayat 9-13). Sebaliknya, Elia mendengar suara lembut Tuhan yang bagaikan bisikan (ayat 12).
Kebisingan biasanya pasti wujud semasa hari perayaan. Apabila keluarga dan kawan-kawan berkumpul, tentunya ada perbualan yang rancak, makanan yang banyak, ketawa yang riang ria, dan ungkapan-ungkapan kasih yang manis. Tetapi apabila kita secara senyap membuka hati kita, kita akan mendapati bahawa masa bersama Tuhan adalah lebih manis. Seperti Elia, kita lebih mungkin menemukan Tuhan dalam suasana yang senyap. Dan kadangkala, jika kita mendengar, kita juga akan mendengar bisikan-Nya yang lembut.