Keith Wasserman telah memilih untuk hidup sebagai gelandangan untuk beberapa hari setiap tahun sejak tahun 1989 supaya dia dapat bertumbuh dalam kasih dan belas kasihan. “Saya tinggal di jalanan untuk meluaskan perspektif dan pemahaman tentang orang yang tidak memiliki rumah,” kata Keith, seorang pengarah eksekutif Good Works, Inc (sebuah pertubuhan komuniti sejak tahun 1981).
Saya memikirkan sama ada pendekatan Keith untuk menjalani kehidupan seperti salah seorang daripada orang yang dilayaninya boleh menjadi suatu gambaran kecil daripada apa yang dilakukan Yesus bagi kita. Tuhan sendiri, Pencipta alam semesta, memilih untuk menjadi seorang bayi yang mudah terdedah kepada bahaya, hidup sebagai manusia, untuk mengalami apa yang kesemua kita alami, mahupun mati di tangan manusia supaya kita boleh mengalami hubungan dengan Tuhan.
Penulis kitab Ibrani berkata bahawa Yesus “sendiri menjadi seperti [kita] dan hidup dalam keadaan manusia. Dia berbuat demikian, supaya dengan kematian-Nya Dia dapat memusnahkan Iblis yang menguasai kematian” (2:14). Untuk seketika, Yesus dijadikan “sedikit lebih rendah daripada malaikat”, meskipun Dia ialah Pencipta mereka (ayat 9). Dia menjadi manusia dan mati, walaupun Dia adalah abadi. Dan dia menderita bagi kita, walaupun Dia ialah Tuhan Yang Maha Kuasa. Mengapakah Dia harus melakukan semua ini? Dengan demikian Dia dapat menolong kita apabila kita mengalami godaan, dan membawa kedamaian kepada hubungan kita dan Tuhan (ayat 17-18).
Semoga kita mengalami kasih-Nya hari ini, mengetahui bahawa Dia memahami hidup kita sebagai manusia dan telah menyediakan jalan untuk menyucikan kita daripada dosa-dosa.