Pada bulan November 2016, bulan purnama (supermoon) yang jarang ternampak muncul—ketika kedudukan bulan berada di orbit yang paling dekat dengan bumi sejak 60 tahun dahulu. Oleh itu bulan kelihatan lebih besar dan lebih terang daripada masa yang lain. Tetapi bagi saya, hari itu langit dilitupi kekelabuan. Walaupun saya melihat gambar-gambar bulan yang mengagumkan ini daripada sahabat-sahabat dari tempat-tempat lain, sewaktu saya menengadah ke atas langit, saya harus percaya bahawa bulan besar itu bersembunyi di sebalik awan-awan.

Walaupun jemaah di Korintus menghadapi banyak kesusahan, Rasul Paulus menggesa mereka supaya percaya kepada apa yang tidak kelihatan tetapi yang akan berkekalan. Katanya, kesusahannya yang sementara “akan mendatangkan kemuliaan yang luar biasa dan kekal” (2 Korintus 4:17). Oleh itu, mereka dapat “menumpukan perhatian kepada apa yang tidak kelihatan, dan bukan kepada apa yang kelihatan,” kerana apa yang tidak kelihatan itu kekal selama-lamanya (ayat 18). Paulus teringin agar iman jemaah Korintus bertumbuh, dan walaupun mereka menderita, mereka akan tetap percaya kepada Tuhan. Mungkin mereka tidak melihat Dia, tetapi mereka boleh percaya bahawa Dia sedang membaharui mereka setiap hari (ayat 16).

Apabila saya melihat awan-awan pada hari itu, saya tahu bahawa bulan itu tersembunyi di sebaliknya dan berada di sana, seperti Tuhan yang tidak kelihatan tetapi kekal. Saya berharap ketika saya diuji untuk berasa bahawa Tuhan berada jauh, saya akan mengarahkan mata saya pada apa yang tidak kelihatan.