Semasa Kebangkitan Rohani Welsh berlaku pada awal abad ke-20, G. Campbell Morgan, seorang guru Alkitab menjelaskan apa yang diperhatikannya. Dia mempercayai bahawa hadirat Roh Kudus Tuhan sedang bergerak pada “gelombang-gelombang lagu pujian rohani.” Morgan menulis bahawa dia telah melihat pengaruh muzik dalam menyatukan ibadat-ibadat, serta menggalakkan orang mula berdoa, membuat pengakuan dosa, dan bernyanyi secara spontan. Jika seseorang yang dikuasai perasaan telah berdoa terlalu panjang, atau bercakap sesuatu yang tidak sehaluan dengan yang lain, seseorang akan bernyanyi secara lembut. Orang yang lain akan turut serta secara lembut, paduan suara akan bergema sehingga menenggelami semua bunyi lain.
Pembaharuan dalam lagu pujian yang dijelaskan oleh Morgan juga dikisahkan dalam Alkitab, bahawa muzik memainkan peranan utama. Muzik digunakan untuk meraikan kemenangan (Keluaran 15:1-21); pentahbisan Rumah TUHAN (2 Tawarikh 5:12-14); dan sebagai sebahagian strategi ketenteraan (20:21-33). Di tengah-tengah Alkitab, kita menemukan buku puji-pujian (Mazmur 1-150). Dalam surat Paulus kepada jemaah di Efesus, kita juga boleh membaca tentang hidup yang dikuasai oleh Roh Tuhan: “Gunakanlah kata-kata daripada mazmur, nyanyian puji-pujian, dan lagu rohani dalam percakapan kamu. Nyanyikanlah puji-pujian dan mazmur kepada Tuhan dengan hati yang gembira (Efesus 5:19).
Dalam konflik, penyembahan, bahkan dalam semua aspek kehidupan, muzik iman kita dapat membantu kita mencapai paduan suara. Dalam lagu pujian yang lama dan baru, kita terus-menerus diperbaharui, bukan dengan kekuatan atau kuasa manusia, melainkan diperbaharui oleh Roh Tuhan dan puji-pujian kepada-Nya.