Selama bertahun-tahun, sahabat saya, Barbara telah memberi saya banyak kad dan hadiah yang amat bermakna. Selepas saya memberitahu kepadanya bahawa saya telah menerima Yesus sebagai Penyelamat saya, dia memberi saya sebuah hadiah yang paling berharga—Alkitab pertama saya. Dia berkata, “Kamu boleh mendekati Tuhan dan menjadi matang secara rohani dengan berjumpa dengan-Nya setiap hari, membaca firman-Nya, berdoa, dan mempercayai serta mentaati-Nya.” Kehidupan saya berubah apabila Barbara mengajak saya untuk lebih mengenal Tuhan.
Barbara mengingatkan saya tentang rasul Filipus. Selepas Yesus mengajak Filipus untuk mengikut-Nya (Yohanes 1:43), rasul Filipus terus memberitahu sahabatnya Natanael bahawa Yesus merupakan “orang yang disebut oleh Musa di dalam Taurat, dan yang dituliskan oleh nabi-nabi” (ayat 45). Ketika Natanael ragu-ragu, Filipus tidak bertengkar dengannya, mengkritik, atau berputus asa. Dia hanya mengajaknya pergi berjumpa dengan Yesus secara bersemuka. “ ‘Marilah lihat,’ jawab Filipus” (ayat 46).
Saya dapat membayangkan kegembiraan Filipus apabila dia mendengar Natanael mengisytiharkan Yesus sebagai “Anak Allah” dan “Raja bangsa Israel” (ayat 49). Betapa besarnya berkat bagi Filipus untuk mengetahui bahawa sahabatnya tidak akan ketinggalan untuk melihat “perkara-perkara yang jauh lebih besar” yang dijanjikan Yesus (ayat 50-51).
Roh Kudus memulakan hubungan intim kita dengan Tuhan kemudian hidup dalam tubuh semua orang yang mempercayai-Nya. Roh Kudus memampukan kita mengenal Tuhan secara peribadi dan mengundang orang lain untuk berjumpa dengan-Nya setiap hari melalui Roh Kudus dan firman-Nya. Jemputan untuk lebih mengenal Yesus adalah satu hadiah yang baik untuk diterima dan diberi.