Sementara kami tunduk kepala untuk doa makan tengah hari, kawan saya Jeff berdoa sedemikian: “Bapa, terima kasih kerana mengizinkan kami menghirup udara-Mu dan memakan makanan-Mu.” Jeff baru sahaja kehilangan pekerjaan, dan kepercayaannya kepada Tuhan serta kesedarannya bahawa segala sesuatu adalah milik-Nya, telah memberikan kesan yang sangat mendalam kepada saya. Saya mula berfikir: Adakah saya benar-benar memahami bahawa segala perkara, walaupun benda yang paling asas setiap hari sebenarnya adalah milik Tuhan, dan Dia sekadar mengizinkan saya menggunakannya?

Raja Daud menerima pemberian daripada orang Israel untuk membina Rumah TUHAN di Yerusalem, dia berdoa, “Aku dan rakyatku sesungguhnya tidak dapat memberikan apa-apa kepada-Mu, kerana segalanya adalah pemberian-Mu dan apa yang kami berikan ini kepunyaan-Mu juga.” Dan dia menambah lagi, “Tetapi semua ini … kepunyaan-Mu juga” (1 Tawarikh 29:14, 16).

Alkitab memberitahu kita bahawa “kekuatan untuk memperoleh kekayaan” dan kemampuan untuk menyara kehidupan datang daripada-Nya (Ulangan 8:18, AVB). Dengan memahami bahawa semua yang kita miliki merupakan benda yang dipinjamkan kepada kita, kenyataan ini mendorong kita supaya tidak menggenggam harta dunia ini serta hidup dengan tangan dan hati terbuka—berkongsi dengan murah hati kerana kita sangat bersyukur atas kemurahan yang kita terima daripada Tuhan setiap hari.

Tuhan merupakan Pemberi yang murah hati—begitu murah hati sehingga Dia memberikan Anak-Nya “untuk kita semua” (Roma 8:32). Oleh sebab kita sudah diberi begitu banyak, semoga kita juga memberi kepada-Nya kesyukuran dengan sepenuh hati atas berkat-berkat yang besar mahupun yang kecil.