Gereja kami dengan jumlah jemaah yang kecil telah membuat keputusan untuk memberi kejutan kepada anak lelaki saya pada hari jadinya yang keenam tahun. Mereka menghias bilik Sekolah Minggu dengan belon dan menyediakan meja kecil dengan kek di atasnya. Apabila anak saya membuka pintu bilik, semua orang berteriak, “Selamat hari jadi!”

Kemudian, sewaktu saya sedang memotong kek, anak saya datang dan berbisik di telinga saya, “Ibu, mengapakah semua orang di sini menyayangi saya?” Saya mempunyai persoalan yang sama! Mereka hanya mengenal kami selama enam bulan, tetapi memperlakukan kami seperti sahabat rapat mereka.

Kasih mereka terhadap anak saya mencerminkan kasih Tuhan kepada kita. Kita tidak memahami sebabnya Dia mengasihi kita, tetapi Dia memang mengasihi kita—dan kasih-Nya diberikan tanpa syarat. Kita tidak melakukan apa-apa supaya layak menerima kasih-Nya, namun Dia masih mengasihi kita dengan sepenuhnya. Alkitab memberitahu kita: “Allah itu kasih” (1 Yohanes 4:8). Ia adalah salah satu sifat diri-Nya.

Tuhan telah mencurahkan kasih-Nya ke atas kita supaya kita dapat menunjukkan kasih yang sama kepada orang lain. Yesus memberitahu murid-murid-Nya, “Sebagaimana Aku sudah mengasihi kamu, hendaklah kamu saling mengasihi. Jika kamu saling mengasihi, semua orang akan tahu bahawa kamu pengikut-pengikut-Ku” (Yohanes 13:34-35).

Jemaah di gereja kecil kami mengasihi kami kerana kasih Tuhan ada di dalam mereka. Ia bersinar melalui mereka dan menyatakan mereka sebagai pengikut Yesus. Kita tidak dapat memahami sepenuhnya kasih Tuhan, tetapi kita boleh mencurahkannya ke atas orang lain, agar menjadi contoh kasih-Nya yang tidak terhurai.