Saya membesar di kota selatan Amerika yang bercuaca panas. Justeru itu, apabila saya berpindah ke bahagian utara, saya mengambil masa untuk belajar memandu dengan selamat pada cuaca bersalji. Semasa kali pertama pada musim sejuk yang teruk, saya terkandas dalam perjalanan yang diliputi salji tebal sebanyak tiga kali! Tetapi selepas membiasakan diri selama beberapa tahun, saya mula berasa selesa untuk memandu dalam keadaan bersalji. Hal itu membuatkan saya menjadi leka dan berhenti berjaga-jaga, sehingga pada suatu hari saya telah terlanggar tompok ais hitam dan tergelincir lalu melanggar tiang telefon di tepi jalan!

Syukurlah tiada orang yang tercedera, tetapi saya belajar sesuatu pada hari itu. Saya menyedari betapa bahayanya apabila berada dalam keadaan yang terlalu selesa. Saya sepatutnya berjaga-jaga, sebaliknya saya telah bertukar kepada ‘mod pandu auto’.

Kita juga perlu mengamalkan sikap berjaga-jaga sedemikian dalam kehidupan rohani kita. Petrus memberi amaran kepada orang percaya supaya tidak menjalani kehidupan tanpa berfikir, tetapi “berjaga-jaga” (1 Petrus 5:8). Iblis sedang berusaha untuk menghancurkan kita secara aktif, maka kita juga perlu menolak cubaan serta berdiri teguh dalam iman dengan aktif (ayat 9). Namun itu bukan perkara yang perlu kita buat sendiri. Tuhan berjanji untuk menyertai kita dalam penderitaan kita dan akhirnya, “menegakkan, menguatkan, dan mengukuhkan” kita (ayat 10). Berdasarkan kuasa-Nya, kita belajar untuk terus berjaga-jaga serta peka dalam melawan kejahatan dan mengikut-Nya.