Berita itu tidak baik. Bapa saya telah mengalami sakit dada, oleh itu doktor telah mengatur pemeriksaan untuk jantungnya. Keputusan pemeriksaan menunjukkan bahawa terdapat tiga bahagian arterinya telah tersumbat.
Pembedahan pintasan itu telah dijadualkan pada 14 Februari. Walaupun bapa saya berasa khuatir, namun dia melihat tarikh itu sebagai tanda yang memberi harapan: “Saya akan mendapat jantung baru sempena Hari Valentine!” Memang dia telah mendapatnya! Pembedahan itu berjalan dengan berjaya, memulihkan pembekalan darah ke jantungnya yang bermasalah—jantungnya yang ‘baru’.
Pembedahan bapa saya mengingatkan saya bahawa Tuhan juga menawarkan kepada kita hidup yang baru. Oleh sebab dosa menyumbat arteri rohani kita—kemampuan kita untuk berhubung dengan Tuhan—maka kita memerlukan pembedahan rohani untuk menghapuskannya.
Itulah yang dijanjikan Tuhan kepada umat-Nya dalam Yehezkiel 36:26. Dia menjamin orang Israel, “Aku akan memberi kamu hati dan fikiran yang baru. Aku akan menggantikan hati kamu yang keras dengan hati yang taat.” Dia juga berjanji, “Aku akan … membersihkan kamu daripada … segala sesuatu yang telah menajiskan kamu” (ayat 25). dan “mencurahkan Roh-Ku ke dalam hati kamu” (ayat 27). Kepada umat yang telah hilang harapan, Tuhan menjanjikan permulaan yang baru kerana hanya Dia yang dapat memperbaharui hidup mereka.
Janji itu akhirnya digenapi sepenuhnya melalui kematian dan kebangkitan Yesus. Apabila kita percaya kepada-Nya, kita menerima hati rohani yang baru, yang dibersihkan daripada dosa dan kehampaan. Dengan dipenuhi oleh Roh Kristus, hati kita yang baru berdenyut dengan darah rohani Tuhan, “kita pun dapat mengamalkan hidup yang baru” (Roma 6:4).
ILHAM
Para nabi dalam Perjanjian Lama sering menulis nubuat mereka dalam beberapa bahagian. Seperti apa yang kita baca sekarang, ia seolah-olah kelihatan kita cuba meletakkan kepingan ”susun suai gambar” bersama. Bahagian Yehezkiel ini padan elok dengan bahagian yang lebih awal. Dalam bab 18, Yehezkiel berkata, "Tinggalkanlah segala kejahatan yang telah kamu lakukan, dan biarlah fikiran dan hati kamu menjadi baru" (ayat 31). Tetapi umat Yehuda tidak dapat melakukan ini sendirinya (dan hal ini sedemikan dengan kita). Itulah sebab Yehezkiel berkata, "Aku akan memberi kamu hati dan fikiran yang baru" (36:26).Tema mengenai ketidakmampuan kami untuk menyelamatkan diri berulang dalam Perjanjian Baru. Paulus menulis, "Dahulu kamu mati secara rohani, kerana kamu tidak taat kepada perintah Allah dan kamu berdosa" (Efesus 2:1), dan kemudian menyatakan bahawa kita diselamatkan "kerana dengan rahmat Allah" dan "oleh sebab kamu percaya kepada Yesus" (ayat 8). Dia menyimpulkan bahawa, "Kita ciptaan Allah dan kerana kita hidup bersatu dengan Kristus Yesus, Allah menjadikan kita mengamalkan perbuatan baik" (ayat 10).