Pada suatu petang Sabtu, beberapa ahli kumpulan belia dari gereja saya berkumpul untuk saling bertanya soalan yang sukar berdasarkan kitab Filipi 2:3-4: “Janganlah lakukan sesuatu bagi kepentingan diri sendiri, atau kerana hendak menyombongkan diri. Sebaliknya dengan rendah hati, anggaplah orang lain lebih baik daripada diri sendiri. Utamakan kepentingan orang lain, jangan hanya kepentingan diri sendiri.” Antara soalan yang sukar termasuklah: Berapakah kerapnya anda mempedulikan orang lain? Adakah orang menggambarkan anda sebagai seorang yang rendah hati, ataupun seorang yang sombong? Kenapa?
Apabila mendengar, saya didorong oleh jawapan mereka yang jujur. Para remaja bersetuju bahawa hal mengakui kelemahan kita adalah mudah, tetapi susah untuk berubah, atau ada keinginan untuk berubah. Seperti keluhan salah seorang remaja, “Sikap yang hanya mementingkan diri itu wujud dalam darah saya.”
Keinginan untuk melepaskan fokus pada diri kita demi melayani orang lain hanya wujud apabila Roh Yesus tinggal dalam diri kita. Itulah sebabnya Paulus mengingatkan jemaah di Filipi untuk merenungkan apa yang telah dilakukan Tuhan, dan telah menggenap hal itu bagi mereka. Dia telah mengangkat mereka sebagai anak, menghibur mereka dengan kasih-Nya, dan memberikan Roh-Nya untuk menolong mereka (Filipi 2:1-2). Bagaimanakah mereka—dan kita—memberi respons terhadap rahmat sedemikian selain hidup dengan rendah hati?
Ya, Tuhan merupakan sebab untuk kita berubah, dan hanya Dia yang boleh mengubah kita. Oleh sebab Tuhan membuat kita “mahu dan sanggup melakukan apa yang dikehendaki-Nya” (ayat 13), justeru kita dapat mengurangkan fokus pada diri sendiri dan melayani orang lain dengan rendah hati.
ILHAM
Kristus menjadi manusia merupakan contoh yang digambarkan dengan sempurna dalam cabaran yang ditujukan oleh Paulus kepada orang percaya di Filipi. Paulus memberi amaran kepada mereka tentang bahaya kepentingan diri sendiri atau kesombongan diri (ayat 1-4). Namun, ayat 6 menggambarkan Yesus melepaskan hak-Nya dari segi status serta kedudukan-Nya yang ilahi dengan rela hati. Mereka dicabar untuk mengganggap orang lain lebih baik daripada diri sendiri. (ayat 3), sedangkan Yesus menjadi teladan merendah diri yang sempurna dengan melepaskan segala-galanya (ayat 7). Orang Filipi digalakkan supaya tidak mengutamakan kepentingan mereka terlebih dahulu (ayat 4), dan Yesus sanggup menjadi hamba yang sempurna demi kita (ayat 7). Mereka diseru untuk mengingat bahawa Yesus melakukan ini dengan sempurnanya sehingga Dia "hidup dengan taat kepada Allah sehingga mati—iaitu mati di atas salib!" (ayat 8). Pengorbanan-Nya bagi pihak kita juga merupakan contoh cara hidup yang terbaik.Untuk maklumat selanjutnya mengenai teks Alkitab yang penting ini, bacalah The Mind of Christ: Experiencing the Joy of the Christlike Difference at discoveryseries.org/q0209.