Dalam bukunya The Call, Os Guinness menghuraikan suatu masa apabila Winston Churchill sedang bercuti dengan kawan-kawannya di selatan Perancis. Masa itu mereka sedang duduk di tepi unggun api untuk memanaskan diri pada malam yang sejuk. Semasa merenungkan unggun api, bekas perdana menteri itu melihat kayu pain berdetus dan berdesir sambil dibakar api. Tiba-tiba suaranya yang rendah kedengaran, “Saya tahu sebab kayu pain berbunyi. Saya tahu apa rasanya dijilat api.”
Kesukaran, kehampaan, bahaya, kesesakan, dan akibat daripada kesalahan yang kita lakukan seolah-olah menenggelami kita. Keadaan sekeliling secara perlahan-lahan meragut sukacita dan kesejahteraan dalam hati kita. Ketika Daud sedang mengalami keadaan seakan-akan ditelan disebabkan oleh pilihannya yang berdosa, dia menulis, “Ketika aku tidak mengakui dosaku, aku letih kerana menangis sepanjang hari … tenagaku habis seperti embun diserap terik matahari” (Mazmur 32:3-4).
Pada masa kesukaran, ke manakah kita berpaling untuk mendapatkan pertolongan? Untuk harapan? Paulus, yang hidupnya dipenuhi dengan beban pelayanan dan kehancuran, menulis, “Kami sering kali dianiaya, tetapi kami tidak menyerah kalah. Kadangkala kami kebingungan, tetapi tidak pernah putus harapan. Banyak orang memusuhi kami, tetapi Allah tidak pernah meninggalkan kami. Meskipun kami sering dianiaya, kami tidak binasa” (2 Korintus 4:8-9).
Bagaimanakah hal ini berfungsi? Apabila kita berehat dalam Yesus, Gembala yang Baik memulihkan jiwa kita (Mazmur 23:3) dan menguatkan kita untuk melangkah seterusnya dalam pengembaraan kita. Dia berjanji untuk berjalan bersama dengan kita sepanjang perjalanan hidup (Ibrani 13:5).