Saya tidak dapat percaya. Sebatang pen gel biru telah bersembunyi dalam tuala saya yang berwarna putih dan terselamat daripada mesin pencuci, tetapi pen itu meletup ketika berada di dalam mesin pengering. Tompokan-tompokan biru terpercik ke mana-mana. Tuala putih saya tidak dapat digunakan lagi. Tiada bahan pemutih yang dapat menghilangkan tompokan gelap itu.
Sementara saya dengan berat hati menyimpan tuala itu di tempat kain buruk, saya diingatkan tentang keluhan Yeremia, seorang nabi dalam Perjanjian Lama, ketika dia menjelaskan akibat daripada dosa yang merosakkan. Dengan menolak Tuhan dan berpaling kepada patung berhala (Yeremia 2:13), Yeremia mengisytiharkan bahawa bangsa Israel telah mengakibatkan noda kekal dalam hubungan mereka dengan Tuhan: “Walaupun engkau mandi dengan menggunakan banyak sabun yang kuat, namun Aku masih nampak noda kesalahanmu” (Yeremia 2:22). Mereka tiada kuasa untuk mengubah kerosakan yang telah dilakukan.
Ini adalah mustahil untuk menghapuskan noda dosa kita berdasarkan usaha sendiri. Tetapi Yesus telah melakukan apa yang kita tidak dapat lakukan. Dengan kuasa kematian dan kebangkitan-Nya, Dia “membersihkan kita (orang percaya) daripada segala dosa” (1 Yohanes 1:7).
Walaupun sukar untuk percaya, tetapi peganglah kebenaran yang indah ini: tiada kerosakan daripada dosa yang tidak mungkin dihapuskan sepenuhnya oleh Yesus. Tuhan mahu dan sedia untuk membersihkan segala akibat dosa bagi sesiapa sahaja yang rela untuk berpaling kepada-Nya (ayat 9). Melalui Kristus, kita dapat hidup dalam kebebasan dan harapan setiap hari.
ILHAM
Terdapat beberapa perkataan yang berlainan untuk dosa dalam Alkitab, masing-masing dengan maknanya sendiri. Dalam pembacaan hari ini, Yeremia menggunakan perkataan yang bermaksud "jahat" atau "jahil", yang sering digunakan untuk menunjukkan sesuatu yang mempunyai kesan negatif. Bagaimanapun, sementara definisi memberikan kita pemahaman teknikal tentang apa itu dosa, kata-kata ini sering gagal untuk melukis imej dosa yang sebenar dengan tepat.Dalam pembacaan hari ini, Yeremia menggunakan empat metafora untuk menggambarkan sifat dosa Israel yang dibenci itu terhadap Tuhan—“menggali kolam yang bocor” (ayat 13), tidak mahu mengabdi kepada Tuhan (ayat 20), pelacuran (ayat 20, TB), dan menjadi pokok anggur liar yang tidak berguna (ayat 21). Apabila kita menggambarkan dosa sebagai hanya "terlepas sasaran" (tembakan yang baik tetapi tidak sempurna), alasan ini adalah lebih wajar. Tetapi apabila gambaran pelacuran digunakan, dosa kita lebih sukar untuk ditutupi. Yeremia mengatakan perbuatan Israel begitu kejam sekali meskipun mereka cuba membersihkan diri, kesalahan mereka tetap kekal.