Saya dengan senyap berjalan melewati tingkap di ruang tamu yang menghala ke kawasan hutan di belakang rumah kami pada awal pagi. Saya kerap kali melihat burung helang atau burung hantu di atas pokok, seolah-olah sedang memerhatikan kawasan itu. Pada suatu pagi, saya terkejut melihat seekor burung helang-botak cuba mengimbangkan kedudukannya di atas ranting yang tinggi, dan memerhatikan persekitaran seakan-akan seluruh tempat yang luas itu kepunyaannya. Kemungkinan besar burung ini sedang memburu bagi “sarapan pagi.” Pandangan helang yang boleh melihat segala sesuatu kelihatan agung.

Dalam 2 Tawarikh 16, Nabi Hanani, pelihat itu, memaklumkan raja bahawa tindakannya berada di bawah pemerhatian agung. Dia memberitahu Asa, raja Yehuda, “Oleh sebab tuanku telah bersandar kepada raja Siria dan tidak bersandar kepada TUHAN” (ayat 7). Kemudian Hanani menjelaskan, “TUHAN sentiasa mengawasi seluruh bumi ini dan memberikan kekuatan kepada mereka yang setia kepada-Nya (ayat 9). Oleh sebab Asa bersandarkan sesuatu yang salah, maka dia akan tetap berada dalam peperangan.

Setelah membaca ayat ini, kita mungkin mendapat pandangan yang salah bahawa Tuhan memerhatikan setiap gerak geri kita supaya Dia dapat menyerang kita seperti burung pemangsa. Akan tetapi kata-kata Hanani memfokuskan perkara yang positif. Penekanannya adalah bahawa Tuhan selalu memerhatikan dan menunggu kita memanggil-Nya apabila kita dalam keperluan.

Seperti helang botak itu, adakah mata Tuhan yang memandang dunia kita dengan luas terbentang—pada saat ini—dapat mencari kesetiaan dalam anda dan saya? Bagaimanakah Dia dapat membekalkan harapan dan pertolongan yang kita perlukan?