Ahli arkeologi Dr. Warwick Rodwell telah membuat penemuan yang luar biasa di Katedral Lichfield, England, semasa dia sedang bersedia untuk bersara. Sementara para pekerja menggali dengan berhati-hati sebahagian lantai gereja untuk membuat dasar yang boleh dipindah, mereka menemukan arca malaikat agung Gabriel yang dijangka berusia 1200 tahun. Rancangan persaraan Dr. Rodwell telah ditangguhkan kerana penemuan tersebut telah membawanya ke suatu musim yang amat menarik dan sibuk.

Musa berumur 80 tahun ketika dia membuat penemuan yang berapi-api yang mengubah hidupnya selamanya. Walaupun dia anak angkat bagi puteri Mesir, namun dia tidak pernah melupakan dia merupakan keturunan Ibrani dan berasa marah kerana ketidakadilan yang dikenakan ke atas orang sebangsanya (Keluaran 2:11-12). Ketika Firaun mendengar bahawa Musa telah membunuh seorang Mesir yang memukul orang Ibrani, Firaun merancang untuk membunuh Musa, tetapi Musa melarikan diri ke Midian, tempat yang dia menetap (ayat 13-15).

40 tahun kemudian, semasa dia berumur 80 tahun, Musa sedang menjaga ternakan bapa mentuanya ketika “malaikat TUHAN menampakkan diri kepada Musa dalam api yang menyala di tengah semak. Musa nampak semak itu menyala, tetapi tidak terbakar” (3:2). Pada saat itu, Tuhan memanggil Musa memimpin orang Israel daripada perhambaan di Mesir (ayat 3-25).

Pada detik ini dalam hidup anda, apakah yang mungkin jadi panggilan Tuhan bagi anda untuk tujuan yang lebih besar? Apakah rancangan baru yang telah diletakkan-Nya di jalan kehidupan anda?