Kevin mengesat air matanya sambil menghulurkan sehelai kertas kepada isteri saya, Cari untuk dibaca. Dia tahu bahawa saya dan Cari berdoa untuk anak perempuan kami supaya beriman semula dalam Yesus. “Nota ini ditemukan dalam Alkitab ibu saya selepas kematiannya, dan saya mengharap ia boleh memberikan galakan kepada kamu,” katanya. Di bahagian atas nota itu tertulis, “Untuk anakku, Kevin.” Di bawahnya tertulis sebuah doa untuk penyelamatannya.
“Saya menyelipkan nota ini dalam Alkitab saya pada hari ini,” jelas Kevin. “Ibu saya telah berdoa untuk penyelamatan saya selama lebih daripada tiga puluh lima tahun. Saya pernah menjauhi daripada Tuhan, tetapi sekarang saya menjadi orang percaya.” Dia merenung kami dan tersenyum sambil menitiskan air mata: “Jangan berputus asa untuk berdoa bagi anak perempuan kamu—tidak kira berapa lama pun.”
Kata-kata dorongannya membuatkan saya berfikir tentang satu pengenalan cerita yang diajarkan oleh Yesus mengenai doa dalam kitab Lukas. Lukas bermula dengan kata-kata, “Kemudian Yesus menceritakan perumpamaan ini untuk mengajar pengikut-pengikut-Nya supaya sentiasa berdoa dan tidak putus asa” (Lukas 18:1).
Dalam cerita itu, Yesus membandingkan seorang “hakim yang jahat itu” (ayat 6) yang menjawab sebuah permintaan kerana dia tidak mahu terus diganggu, dengan Bapa syurgawi yang benar-benar mempedulikan kita dan mahu kita datang kepada-Nya. Kita boleh mendapat dorongan apabila kita berdoa kerana mengetahui bahawa Tuhan mendengar serta mempelawa doa kita.
ILHAM
Petikan hari ini menjelaskan bahawa Yesus memberitahu pengikut-pengikut-Nya tentang perumpamaan ini untuk mengajar mereka "sentiasa berdoa dan tidak putus asa" (Lukas 18:1). Tetapi ada dua ciri penting dalam perumpamaan ini. Sudah tentu, ciri utama adalah berdoa dengan berterusan. Seperti janda itu mendesak-desak hakim yang jahat untuk menjawab permintaannya, kita harus sentiasa dan terus-menerus membawa doa kita di hadapan Tuhan. Tetapi ada sesuatu lagi mengenai permintaan janda itu yang perlu diperhatikan, kerana Yesus juga menyebutnya. Permintaannya adalah untuk keadilan. Ini bukan satu masalah peribadi atau percubaan untuk mendapatkan faedah. Dia telah difitnah dalam beberapa situasi tertentu, maka dia terus-menerus meminta hakim itu—seorang hakim yang jahat—untuk memberikan keadilan kepadanya. Yesus berkata bahawa Bapa (yang adil) juga akan "membela umat-Nya" (ayat 7). Tuhan Bapa mendengar dan menjawab doa kita yang berterusan untuk keadilan.Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai doa, lawati christianuniversity.org/prayer