Polis menahan seorang perempuan atas tuduhan memandu secara melulu. Dia telah memandu di laluan pejalan kaki, serta berundur kembali kerana dia tidak mahu menunggu di belakang bas sekolah yang sedang menurunkan para pelajar!
Walaupun adalah benar bahawa menunggu boleh membuatkan kita tidak sabar, namun ada perkara baik dan kita boleh mempelajari sesuatu dalam hal menunggu. Yesus mengetahui hal itu ketika Dia memberitahu para pengikut-Nya supaya jangan “tinggalkan Yerusalem” (Kisah Rasul-Rasul 1:4). Mereka menunggu untuk “dibaptis dengan Roh Allah” (ayat 5).
Ketika para pengikut berkumpul di bilik atas, kemungkinan mereka berasa teruja dan penuh harapan, mereka seakan-akan memahami bahawa ketika Yesus memberitahu mereka untuk menunggu, Dia tidak berkata bahawa mereka tidak perlu melakukan apa-apa. Mereka memperuntukkan masa untuk berdoa (ayat 14); dan membaca Alkitab, mereka juga memilih pengikut baru untuk menggantikan Yudas (ayat 26). Ketika mereka bersama-sama menyembah dan berdoa, mereka dikuasai oleh Roh Kudus (2:1-4).
Para pengikut itu bukan hanya menunggu—mereka juga membuat persiapan. Sementara kita menantikan Tuhan, itu tidak bermaksud kita tidak melakukan apa-apa atau bergegas maju ke depan tanpa kesabaran. Sebaliknya kita boleh berdoa, menyembah, dan menikmati persekutuan sementara kita berharap penuh kepada apa yang akan dilakukan-Nya. Penantian mempersiapkan hati, minda, dan tubuh kita untuk perkara-perkara yang akan datang.
Ya, apabila Tuhan meminta kita menunggu, kita berasa teruja—kerana mengetahui bahawa kita boleh mempercayai-Nya dan rancangan yang disediakan-Nya bagi kita.