Hari itu bermula seperti hari-hari biasa, tetapi berakhir sebagai mimpi buruk. Esther (bukan nama sebenar) dan beberapa ratus orang wanita telah diculik dari sebuah sekolah berasrama penuh oleh sekumpulan pengganas agama. Sebulan kemudian setiap mereka dibebaskan—kecuali Esther yang enggan menyangkal Kristus. Ketika saya dan rakan membaca tentang dia yang dianiayai disebabkan oleh imannya, hati kami berasa tersentuh. Kami ingin melakukan sesuatu. Tetapi apa yang boleh kami lakukan?

Ketika menulis kepada gereja di Korintus, rasul Paulus berkongsi tentang kesusahan yang dialaminya di wilayah Asia. Penganiayaan menjadi amat teruk sehingga dia dan teman-temannya “kehilangan harapan untuk hidup” (2 Korintus 1:8). Bagaimanapun, Paulus telah ditolong oleh doa orang percaya (ayat 11). Walaupun gereja Korintus jauh daripadanya, doa mereka adalah penting dan Tuhan mendengarkan mereka. Di sinilah misteri yang mengagumkan: Tuhan yang bertakhta telah memilih untuk menggunakan doa kami bagi menyempurnakan rancangan-Nya. Betapa baiknya keistimewaan ini!

Pada hari ini kita boleh terus mempedulikan saudara-saudara kita di dalam Kristus yang menderita kerana iman mereka. Kita boleh melakukan sesuatu. Kita boleh berdoa bagi mereka yang berada dalam keperluan, tekanan, serangan, penderaan, bahkan kadangkala dibunuh disebabkan oleh kepercayaan mereka dalam Kristus. Mari berdoa untuk mereka supaya mengalami penghiburan dan dorongan daripada Tuhan, dan mereka dikuatkan oleh harapan serta berdiri teguh dengan Yesus.