Saya mengintai melalui pagar di halaman belakang rumah kami yang dilitupi anggur. Dari situ saya melihat orang ramai sedang berlari, berjoging, berjalan kaki, dan berjalan dengan menyeret kaki di sekitar trek yang mengelilingi taman di belakang rumah kami. Saya melakukan aktiviti tersebut sewaktu saya masih kuat pada masa dahulu, saya berfikir, dan perasaan tidak puas hati mula memenuhi hati saya.
Kemudian, ketika membaca Alkitab, saya terjumpa Yesaya 55:1, “Marilah, setiap orang yang haus, minumlah air yang tersedia,” dan sekali lagi saya sedar bahawa ketidakpuasan (kehausan) pasti wujud, dan bukan satu pengecualian dalam hidup ini. Tiada satu pun, malah perkara baik dalam hidup sekalipun tidak dapat memberikan kepuasan sepenuhnya. Jika saya memiliki kaki yang kuat seperti Sherpa (pemandu gunung), masih ada sesuatu dalam hidup yang membuatkan saya tidak gembira.
Budaya kita selalu memberitahu kita melalui cara yang tertentu bahawa sesuatu yang kita buat, beli, pakai, sembur, solek, atau naiki akan memberikan kesenangan yang tidak berakhir. Tetapi itu tidak benar. Kita tidak akan mendapat kepuasan yang sempurna daripada apa-apa pun, tidak kira apa pun yang kita lakukan.
Sebaliknya, Yesaya menjemput kita datang berulang kali kepada Tuhan dan firman-Nya untuk mendengar apa yang ingin dikatakan-Nya. Apakah yang dikatakan-Nya? Kasih-Nya kepada Daud pada zaman dahulu adalah “kekal” (ayat 3). Itu juga dikhaskan bagi anda dan saya! Kita boleh “datang” kepada-Nya.