Semasa menulis satu panduan Alkitab untuk para pastor dari Indonesia, seorang rakan penulis terpegun dengan budaya kesatuan bangsa itu. Ia dipanggil gotong royong, yang bererti “saling membantu”—konsep itu dipraktikkan di kawasan perkampungan, iaitu penduduk di sebuah kawasan jiran tetangga bekerja bersama-sama untuk membaiki atap rumah orang lain, membina semula jambatan atau laluan jalan. Di kawasan bandar kawan saya juga berkata, “Orang selalu pergi ke mana-mana dengan bertemankan seseorang—berjumpa dengan doktor, contohnya. Itu sudah menjadi norma masyarakat. Jadi anda tidak keseorangan.”
Di seluruh dunia, orang yang percaya Yesus bersukacita kerana mengetahui bahawa kita juga tidak bersendirian. Teman kita yang selalu dan selamanya akan menyertai kita ialah Roh Kudus, iaitu peribadi ketiga Tritunggal. Jauh melebihi daripada seorang teman yang setia, Roh Tuhan diberikan kepada setiap pengikut Kristus oleh Bapa syurgawi untuk menolong dan “akan bersama-sama kamu selama-lamanya” (Yohanes 14:16).
Yesus menjanjikan Roh Tuhan akan datang selepas masa-Nya selesai di muka bumi. “Aku tidak akan meninggalkan kamu sendirian seperti yatim piatu,” kata Yesus (ayat 18). Sebaliknya, Roh Kudus—“yang menunjukkan apa yang benar tentang Allah” yang “tinggal dengan kamu dan bersatu dengan kamu”—tinggal dalam setiap kita yang menerima Kristus sebagai Penyelamat (ayat 17).
Roh Kudus ialah Penolong, Penghibur, Pendorong, dan Penasihat kita—teman yang sentiasa ada bagi kita di dunia kerana kesunyian juga menderitakan orang yang banyak bergaul. Semoga kita selama-lamanya tinggal dalam kasih dan pertolongan-Nya yang membawa kedamaian.
ILHAM
Apabila Yesus hampir kembali kepada Bapa, Dia berjanji kepada para pengikut-Nya bahawa Dia tidak akan meninggalkan mereka, tetapi akan memohon Bapa untuk memberi mereka "Penolong lain," yakni Roh Kudus (Yohanes 14:16-17). Penolong berasal daripada perkataan Yunani paraklētos, yang bermaksud "orang yang membantu atau memampukan orang lain" (Yohanes 14:16, 26; 15:26; 16:7-8). Pelbagai terjemahan bagi perkataan ini diberikan, misalnya "Penolong", "Kaunselor", "Penghibur, dan "Rakan".Ada dua perkataan Yunani yang mengandungi maksud "yang lain": heteros, yang membawa maksud konotasi bagi satu lagi jenis yang lain; dan allos, yang bermaksud satu lagi yang sama jenisnya. Allosis adalah perkataan yang digunakan dalam Yohanes 14:16. Apabila Bapa menghantar Roh Tuhan, Dia menghantar seorang wakil peribadi yang setara (ayat 26), bukan pengganti yang lebih rendah atau orang bawahan. Roh Kudus meneruskan apa yang dilakukan Yesus: Dia menghibur, menggalakkan, membimbing, dan menguatkan. Dia mengingatkan kita tentang segala pengajaran Yesus (Yohanes 14:26; 16:12-15).