Saya membesar di gereja yang penuh dengan tradisi. Salah satunya adalah tentang ahli keluarga atau rakan yang meninggal dunia. Biasanya tidak lama kemudian sebuah kerusi panjang di gereja atau sebuah lukisan akan dipamerkan di ruang masuk, dengan sebuah plat loyang yang dibubuhi tulisan: “Dalam kenangan … ” Nama orang yang meninggal akan diukirkan di situ, sebuah peringatan yang berkilau tentang satu hidup yang sudah berlalu. Saya sentiasa dan masih menghargai memorial sedemikian. Tetapi pada masa yang sama, hal itu selalu membuatkan saya berfikir kerana benda-benda tersebut adalah statik, objek yang tidak bergerak, atau sesuatu yang “tidak hidup”. Adakah cara untuk menambahkan elemen yang “hidup” kepada memorial tersebut?

Berikutan kematian Yonatan, iaitu sahabat yang amat dikasihinya, Daud ingin mengenangnya dan menunaikan janji terhadapnya (1 Samuel 20:12-17). Tetapi dia tidak memilih untuk melakukan sesuatu yang statik, sebaliknya Daud mencari dan menemui sesuatu yang benar-benar hidup—seorang anak lelaki Yonatan (2 Samuel 9:3). Keputusan Daud di sini amat dramatik. Dia memilih untuk berbuat baik (ayat 1) kepada Mefiboset (ayat 6-7) dalam cara yang lebih terperinci, iaitu mengembalikan harta milik (“semua tanah yang dahulu dimiliki datukmu Raja Saul”) dan pertolongan yang berterusan dari segi makanan dan minuman (“Kamu akan sentiasa dijemput makan di meja beta”).

Sementara kita terus memperingati orang yang sudah meninggal dengan plak memorial dan lukisan, semoga kita juga mengingatkan contoh daripada Daud serta menghulurkan kebaikan kita kepada orang yang masih hidup.