Antara patung lelaki yang diperagakan (Nelson Mandela, Winston Churchill, Mahatma Ghandi, dan lain-lain) di Dataran Parlimen London, terdapat satu-satunya patung perempuan. Patung perempuan itu ialah Millicent Fawcett, yang memperjuangkan hak wanita untuk mengundi. Dia diperingati selama-lamanya dalam patung tembaga—memegang sepanduk yang memaparkan kata-kata penghormatannya kepada rakan seperjuangan: “Keberanian merangsang keberanian di mana-mana.” Fawcett berkeras mengatakan bahawa keberanian satu orang pun dapat memberikan keberanian kepada orang lain—memanggil penakut berbuat sesuatu.

Ketika Daud mempersiapkan diri untuk menyerahkan takhta kepada anaknya Salomo, dia menjelaskan tanggungjawab yang tidak lama lagi akan diletakkan ke bahu anaknya itu. Seakan-akan Salomo berasa gementar kerana beratnya situasi yang bakal dihadapinya: memimpin Israel untuk mengikut kesemua perintah Tuhan, melindungi tanah negara yang telah dipercayakan oleh Tuhan kepada mereka, dan menyelia tugas pembinaan Rumah TUHAN yang agung (1 Tawarikh 28:8-10).

Apabila Daud mengetahui hati Salomo yang gementar, dia memberikan kata-kata yang penuh kuasa kepada anaknya: “Engkau harus yakin dan berani … jangan gentar terhadap apa-apa pun. TUHAN Allah yang beta sembah akan menolong engkau. Dia tidak akan meninggalkan engkau, tetapi Dia akan menyertai engkau” (ayat 20). Keberanian sebenar tidak akan datang daripada kemahiran atau keyakinan Salomo sendiri, melainkan daripada kebergantungannya kepada hadirat dan kekuatan Tuhan. Tuhan memberikan keberanian yang diperlukan oleh Salomo.

Ketika kita menghadapi kesukaran, kita selalu mencuba untuk membangkitkan keberanian atau mengucapkan kata-kata keberanian kepada diri kita. Bagaimanapun, hanya Tuhan yang memperbaharui iman kita. Dia akan menyertai kita, dan hadirat-Nya meneguhkan hati kita.