Pada musim panas tahun 1963, selepas memandu bas sepanjang malam, aktivis hak awam Fannie Lou Hamer dan enam orang penumpang berkulit hitam berhenti untuk makan di gerabak makan-minum Winona, Mississippi. Selepas pegawai penguat kuasa undang-undang memaksa mereka untuk beredar, mereka ditahan dan dipenjarakan. Tetapi penghinaan itu tidak berakhir dengan penahanan yang tidak mengikut undang-undang. Kesemua mereka telah didera dengan teruk, dan yang paling teruk sekali ialah Fannie. Selepas menerima serangan ganas yang hampir meragut nyawa, daripada mulutnya keluar lagu ini: “Paulus dan Silas diikat dalam penjara, lepaskanlah umatku.” Dan dia tidak bernyanyi sendirian. Banduan lain juga ikut serta. Tubuh mereka ditahan tetapi bukan jiwa mereka.

Menurut Kisah Rasul-Rasul, Paulus dan Silas mendapati diri mereka dalam keadaan yang sukar ketika mereka dipenjarakan kerana memberitakan tentang Yesus kepada orang lain. Bagaimanapun, keadaan sukar itu tidak memudarkan iman mereka. “Kira-kira tengah malam Paulus dan Silas berdoa dan menyanyikan puji-pujian kepada Allah” (ayat 25). Pujian mereka yang penuh semangat telah mewujudkan peluang untuk terus berbicara tentang Yesus. “Lalu Paulus dan Silas menerangkan firman Tuhan kepada ketua penjara itu dan kepada semua orang di rumahnya” (ayat 32).

Kebanyakan kita tidak akan menghadapi keadaan ekstrem sebagaimana yang telah dialami oleh Paulus, Silas, mahupun Fannie, tetapi setiap kita akan menghadapi situasi yang tidak menyenangkan. Apabila hal itu terjadi, kekuatan kita datang daripada Tuhan kita yang setia. Semoga ada lagu dalam hati kita yang akan memuliakan-Nya, serta keberanian untuk berbicara tentang Dia—meskipun di tengah-tengah kesusahan.