Ketika Aaron (bukan nama sebenar) berumur 15 tahun, dia mula berdoa kepada Iblis: “Saya merasakan seolah-olah ada persekutuan antara kami.” Aaron mula berbohong, mencuri, dan memanipulasikan keluarga dan rakan-rakannya. Dia juga mengalami mimpi buruk: “Saya bangun pada suatu pagi dan ternampak Iblis di hujung katil. Dia memberitahu bahawa saya akan berjaya dalam peperiksaan dan kemudiannya akan mati.” Tetapi setelah peperiksaannya habis, dia masih hidup. Aaron merenung, “Sudah jelas bagi saya bahawa dia ialah pembohong.”

Oleh sebab Aaron berharap untuk berkawan dengan gadis, dia menghadiri satu festival Kristian, yang seorang lelaki menawarkan untuk mendoakannya. “Ketika dia berdoa, saya merasakan kedamaian mengalir ke seluruh tubuh aku.” Dia merasakan sesuatu yang “lebih berkuasa dan dapat memberikan kebebasan,” berbanding apa yang dirasakannya daripada Iblis. Orang yang mendoakannya itu berkata bahawa Tuhan mempunyai rancangan dalam kehidupannya dan Iblis ialah penipu. Orang ini mengisytiharkan apa yang dikatakan oleh Yesus tentang Iblis ketika Dia memberikan respons kepada orang yang menentang-Nya: “Apabila Iblis berdusta, hal itu memang sudah sewajarnya, kerana dia pendusta dan asal segala dusta” (Yohanes 8:44).

Aaron berpaling daripada Iblis dan mempercayai Kristus, kini dia “berasal daripada Allah” (ayat 47). Dia melayani dalam sebuah komuniti di bandar, berkongsi perubahan dalam hidupnya kerana mengikut Yesus. Dia ialah saksi yang hidup tentang kuasa penyelamatan Tuhan: “Saya boleh berkata dengan yakin bahawa Tuhan telah menyelamatkan hidup saya.”

Tuhan ialah sumber segala sesuatu yang baik, kudus, dan benar. Kita boleh berpaling kepada-Nya untuk mencari kebenaran.