Lisa tidak bersimpati terhadap sesiapa sahaja yang berlaku curang terhadap pasangan mereka … sehinggalah dia menyedari bahawa dirinya benar-benar berasa tidak puas hati dengan perkahwinannya dan bergelut untuk melawan godaan yang berbahaya. Pengalaman yang menyakitkan itu menolong dia memiliki perasaan belas kasihan terhadap orang lain serta pemahaman yang lebih mendalam terhadap kata-kata Kristus: “Sesiapa di kalangan kamu yang tidak berdosa boleh melemparkan batu pertama untuk merejam dia” (Yohanes 8:7).

Yesus sedang mengajar di Rumah Tuhan ketika Dia mengatakan pernyataan ini. Sekumpulan guru Taurat dan orang Farisi membawa seorang wanita kepada Yesus. Perempuan itu didapati berzina. Mereka mula mencabar Yesus, “Di dalam kitab Taurat, Musa memerintahkan agar wanita seperti ini direjam sehingga mati. Tetapi apakah pendapat guru?” (ayat 5). Oleh sebab mereka menganggap Yesus sebagai ancaman kepada kuasa mereka, maka soalan itu merupakan satu cara untuk “memerangkap Yesus, supaya mereka boleh menuduh Dia” (ayat 6)—dan menghapuskan-Nya.

Tetapi apabila Yesus menjawab, “Sesiapa di kalangan kamu yang tidak berdosa … ” (Yohanes 8:7), tiada seorang pun antara penuduh wanita itu mengambil batu. Malah seorang demi seorang meninggalkan tempat itu.

Sebelum kita menghakimi orang lain disebabkan oleh kelakuan mereka, sedangkan kita mengentengkan dosa sendiri, ingatlah bahawa kesemua kita “sudah berdosa dan jauh daripada Allah” (Roma 3:23). Namun Penyelamat kita telah menunjukkan kepada wanita ini—serta saya dan anda—rahmat dan harapan (Yohanes 3:16; 8:10-11), bukan penghakiman. Mengapakah pula kita tidak boleh melakukan hal yang sama kepada orang lain?